GEORGE TOWN – Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PIP) bernilai RM27 bilion yang menggariskan perancangan kini hingga 2030 bagi mewujudkan rangkaian intergrasi pengangkutan cekap di negeri ini dibentangkan di sini baru-baru ini membabitkan kira-kira 30 syarikat dari dalam dan luar negara yang berminat.
Koordinator Pelaksana PIP, Ir. Lim Thean Heng berkata, PIP adalah sebahagian daripada sistem pengangkutan awam bersepadu dan holistik dilengkapi dengan sistem jaringan jalan raya untuk kemudahan hampir 1.6 juta penduduk Pulau Pinang.
“Ia merangkumi tempoh pelaksanaan secara berfasa bermula dari tahun 2013 hingga 2030 dengan melibatkan pelaksanaan Pelan Tindakan Lebuhraya bernilai RM16.4 bilion, Pelan Tindakan Sistem Pengangkutan Awam (RM9.7 bilion), Pelan Tindakan Kebolehcapaian, Pelan Tindakan Institusi dan Kajian Pengangkutan Air (keseluruhan RM900 juta).
“Selain itu, PIP turut memberi tumpuan kepada penyediaan kemudahan mesra OKU (orang kurang upaya) dan cadangan pembinaan link ketiga atau terowong bawah laut yang akan bertindak sebagai bypass bagi mereka yang menghala ke arah utara Pulau Pinang,” ujarnya pada sesi taklimat khas di sini baru-baru ini.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng hadir merasmikan taklimat berkenaan.
Turut menemani, Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow.
Notis Permohonan Cadangan atau Request for Proposal (RFP) bagi tender pelaksanaan PIP melibatkan nilai RM27 bilion dibuka untuk jualan sejak 15 Ogos lalu dan akan ditutup, 16 Disember ini.
Menurut Kon Yeow, mana-mana pembida yang berminat sama ada melalui usahasama dengan mana-mana syarikat tempatan atau asing dan membentuk korsortium dengan dana pemegang saham syarikat utama mestilah tidak kurang daripada RM500 juta serta mempunyai prestasi yang baik adalah dialu-alukan untuk membida.
“Kaunter penjualan dokumen tender dibuka setiap Isnin hingga Jumaat dari 8 pagi sehingga 5 petang.
“Pembida berminat boleh mendapatkan dokumen tersebut pada harga RM2,000.
“Selain itu, pembida juga dikehendaki mengisi borang maklumat dan menyerahkan kad nama syarikat (business card) semasa pembelian dokumen tersebut.
“Pembida akan dibekalkan dengan borang dan satu set laporan lengkap berkaitan Projek Jalan dan Pengangkutan Awam di Pulau Pinang,’’ jelas beliau.
Maklumat lanjut, sila layari portal rasmi Kerajaan Negeri Pulau Pinang di www. penang.gov.my atau hadir ke Kaunter Juruwang, Tingkat 3, Komtar atau hubungi Bahagian Kerajaan Tempatan di talian 04 – 650 5410, 04 – 261 3454 (Ir. Lim Thean Heng) atau 04 – 650 5681 (Engr. Mustaqin Alpi).