RFP projek kompleks pasar awam, RMM Teluk Kumbar dibuka 6 September

Admin

BAYAN LEPAS – Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) kini dalam proses membuat panggilan Request For Proposal (RFP) bagi cadangan merancang, membina, mengurus dan menyelenggara sebuah kompleks pasar awam dan pembangunan rumah mampu milik (RMM) di Lot 908, Mukim 9, Jalan Teluk Kumbar, Daerah Barat Daya.

 

Menurut Ahli Majlis bagi MBPP, Abdul Latif Mohamad, tujuan utama panggilan RFP dibuat adalah untuk mengoptimumkan pembangunan di atas tanah milikan majlis di samping menaik taraf kemudahan awam dan kualiti hidup penduduk di kawasan Teluk Kumbar.


“Iklan RFP akan dikeluarkan pada 6 September 2021, manakala dokumen akan dikeluarkan pada hari berikutnya (7 September). Tarikh tutup pula adalah pada 8 November 2021.

 

“Pembangunan ini akan menerapkan konsep Sustainable Development Goals (SDGs) dan Doktrin Perancangan dan Pembangunan Reka Bentuk Sejagat dalam pelaksanaan projek, selaras dengan Visi Penang 2030, Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara.

 

“(Maka), MBPP mempelawa pemaju-pemaju hartanah tempatan untuk membuat tawaran pembangunan melalui konsep build, operate and transfer (BOT) bagi membangunkan tanah milikan MBPP (hadapan Sekolah Kebangsaan Teluk Kumbar) seluas 4.371 ekar ini.

 

“Mereka (pemaju atau petender) yang berjaya akan diberi hak untuk membangunkan, memasarkan dan menjual unit-unit pembangunan rumah mampu milik yang didirikan di dalam pemajuan tersebut.

 

“MBPP akan memindahmilikan dengan pajakan 99 tahun kepada petender yang berjaya,” ujar Abdul Latif dalam satu sidang media pagi tadi.

 

Hadir sama, Setiausaha Bandaraya bagi MBPP, Dato’ Ir. Addnan Mohd. Razali dan Pengarah Jabatan Kawalan Bangunan MBPP, Rizuwan Salleh.

Tambah Abdul Latif, sebagai bayaran kepada MBPP, petender yang berjaya dikehendaki membina, mengurus dan menyelenggarakan sebuah kompleks pasar awam untuk penduduk di kawasan sekitarnya.

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : DARWINA MOHD. DAUD