SUNGAI BAKAP – Ribuan penyokong serta penduduk lokal membanjiri tapak parkir pasar raya mega C-Mart Bandar Tasek Mutiara bagi menyertai ceramah mega Perpaduan di sini sebelum tempoh kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) N.20 Sungai Bakap melabuh tirai tepat jam 12 tengah malam ini.
Menteri Ekonomi merangkap Tinbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli; Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong yang juga Setiausaha Publisiti Parti Tindakan Demokratik (DAP) Kebangsaan; Pengerusi Badan Perhuhungan Umno Negeri Pulau Pinang, Datuk Musa Sheikh Fadzir; Ahli Dewan Negara, Senator Dato’ Seri Dr. Mujahid Yusof Rawa yang juga Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar; dan Timbalan Menteri Belia dan Sukan merangkap Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Adam Adli Abdul Halim antara pemimpin yang berceramah di pentas politik.
Semasa berucap, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow terus merayu kepada sekalian pengundi supaya memilih calon Perpaduan, Dr. Joohari Ariffin sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Bakap yang baharu, esok (6 Julai 2024).
“Pada hari esok, kita mengharapkan calon Perpaduan (iaitu Joohari) dapat sokongan daripada pengundi-pengundi supaya kita dapat meneruskan agenda-agenda pembangunan negeri Pulau Pinang,” jelasnya yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) negeri di sini pada 5 Julai 2024.
Semalam, Kon Yeow berkata bahawa suara wakil rakyat Melayu bertambah dalam Kerajaan Perpaduan Pulau Pinang, jika Joohari diberi peluang untuk menjadi ADUN Sungai Bakap yang baharu.
Berdasarkan rekod Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi Pilihan Raya Negeri 2023, 59.36 peratus adalah pengundi Melayu, 22.54 peratus (Cina), 17.39 peratus (India) dan 0.61 peratus (lain-lain).
Kini, difahamkan, kerusi DUN Sungai Bakap mempunyai 39,279 pemilih yang terdiri daripada 39,222 pengundi biasa dan 57 anggota polis.
Esok, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan masa pembuangan undi bermula dari pukul 8 pagi hingga 6 petang atau mengikut waktu pusat mengundi diwartakan.
Keluar mengundi awal, jangan lupa bawa kad pengenalan!