Ribuan sertai City Walk simbol penghargaan status bandar raya George Town – Ketua Menteri

06df71d3 daa8 46c7 906e 4c6061bf8eca BENDERA negeri Pulau Pinang dan Jalur Gemilang dikibarkan sebelum Ketua Menteri (di pentas utama, tengah) menyempurna acara pelepasan peserta edisi ke-13 City Walk Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) di perkarangan Jalan Padang Kota Lama di sini pada 1 Januari 2025.

GEORGE TOWN – Seramai 7,500 peserta menyertai edisi ke-13 Jalanan Ria Bandar Raya (City Walk) anjuran Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), sejauh 5.5 kilometer (km) dari perkarangan Jalan Padang Kota Lama pada awal pagi 1 Januari 2025.

Mereka, antara koridor usia semuda setahun dan paling tua berumur 85 tahun, dengan 152 peserta direkodkan lahir pada tanggal 1 Januari.

745f363f c16a 4d96 8b73 f8aa2fb78e17
KETUA Menteri

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa pentadbirannya berharap penyertaan ribuan orang dalam acara tahunan pada kali ini melambangkan penghargaan sekalian penduduk negeri atas penaiktarafan dan pengiktirafan sebagai sebuah bandar raya.

“Kita (Pihak Berkuasa Tempatan, PBT) telah mengadakan City Walk sejak tahun 2013, sebagai suatu acara untuk menunjukkan pengiktirafan bahagian pulau Pulau Pinang sebagai (status) bandar raya yang dikurniakan oleh Kerajaan Persekutuan.

“Dan, pada tahun 2015, Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MBPP) telah diiktirafkan dan dinaikkan ke status ‘bandar raya’ iaitu Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) (yang mana) sudah genap 10 tahun kita menjadi bandar raya,” jelasnya sebelum menyempurna acara pelepasan peserta larian ria tersebut.

772a079e e139 4c11 99f2 c1d7c069c361
BEBERAPA peserta City Walk 2025 turut mengambil kesempatan swafoto bersama-sama Ketua Menteri semasa acara jalanan ria bandar raya di sini pada awal pagi tadi.

Menurut Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi itu lagi, selama 10 tahun diiktiraf sebagai bandar raya, ia telah menyaksikan semua pemegang taruh seperti Pihak Berkuasa Negeri, MBPP, komuniti lokal serta pembayar cukai saling bertanding bahu menjadikan kawasan pentadbiran PBT ini sebagai bandar raya yang mampan, resilient, berdaya tahan, selamat, hijau, bersih dan pintar.

Menyorot sejarah panjang pembangunan negeri ini, Kon Yeow memberitahu bahawa George Town telah menjadi bandar raya sejak 1 Januari 1957, yang mana kawasan pentadbiran berkaitan di sini telah diberi status tersebut oleh Ratu Elizabeth II melalui Royal Charter, serta menjadi bandar raya pertama di negara ini pada tanggal 1 Januari 1957.

“Mungkin pada waktu itu Pulau Pinang lebih maju berbanding Kuala Lumpur.

“Tetapi, kita (warga penduduk Pulau Pinang) tahu bahawa pada hari ini kita bukan bandar raya pertama (yang mendapat pengiktirafan Kerajaan Pusat) di negara ini, namun, kita tetap bangga Pulau Pinang senantiasa bandar raya yang disegani oleh bandar raya lain di Malaysia ini kerana pencapaian serta prestasi kita yang amat bagus,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan.

Melihat prestasi dan tahap kemajuan negeri pada hari ini, Kon Yeow memberitahu bahawa beberapa projek pembangunan antaranya majlis pecah tanah projek Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Mutiara akan dilangsungkan dalam bulan Januari ini juga.

4d310183 cd3c 4b37 954e 7d949bdc3678
A. Rajendran

Berucap sebelum itu, Datuk Bandar MBPP, Dato’ Ir. A. Rajendran memberitahu bahawa pentadbirannya berbangga kerana edisi ke-13 City Walk sejak 5.30 pagi tadi bukan sahaja menerima penyertaan warganegara, malah pengembara antarabangsa dari beberapa negara.

“City Walk merupakan suatu acara tahunan yang amat digemari dan dinanti-nantikan oleh warga Pulau Pinang, serta saya dimaklumkan ada peserta dari luar negara turut menyertai acara pada pagi ini, iaitu dari Jepun, Kazakhstan, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Indonesia, Filipina, Vietnam dan lain-lain negara,” ulasnya.

5ae80464 2c8c 418c a012 60bb832c35de
KETUA Menteri (tengah) bersama-sama pemimpin negeri lain dalam acara meraikan para peserta City Walk 2025 yang direkodkan lahir pada tanggal 1 Januari, sebelum menyempurna acara pelepasan jalanan ria bandar raya di sini pada awal pagi tadi.

Exco Kerajaan Tempatan dan Perandangan Bandar & Desa, Jason H’ng Mooi Lye; Exco Belia, Sukan dan Kesihatan, Daniel Gooi Zi Sen; Exco Perumahan dan Alam Sekitar, Dato’ Seri S. Sundarajoo; ADUN Komtar, Teh Lai Heng; ADUN Pengkalan Kota, Wong Yuee Harng; ADUN Seri Delima, Connie Tan Hooi Peng, Ahli Parlimen Tanjong merangkap Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying; dan barisan Ahli Majlis MBPP antara yang hadir menyertai acara tahunan tersebut.

Sebelum menyempurna acara pelepasan, Kon Yeow dan barisan pemimpin negeri turut meraikan para peserta yang lahir pada tanggal 1 Januari dengan bersama-sama memotong kek sempena sambutan Hari Bandaraya.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS
Video : SITI NURATIKAH RAHMAT