GEORGETOWN – Usaha murni sebuah badan bukan kerajaan (NGO), Persatuan Buddhist Tzu Chi hari ini telah menyumbangkan peralatan perubatan bagi mengurangkan beban petugas barisan hadapan di Hospital Pulau Pinang (HPP).
Sumbangan tersebut telah disampaikan oleh Pesuruhjaya Persatuan Buddhist Tzu Chi, Khoo Boo Leong kepada Ketua Unit Kawalan Jangkitan, Dr. Chow Ting Soo.
Peralatan perubatan yang disumbangkan terdiri daripada 1 unit patient monitor, syringe pump (2) dan BIPAP ventilator (1) untuk kegunaan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan wad-wad berkaitan.
Sementara itu, Boo Leong menyatakan bahawa sejak pandemik COVID-19 menular, Tzu Chi sentiasa komited menghulurkan bantuan bukan sahaja terhadap petugas hospital, malahan aktif menjalankan aktiviti melibatkan komuniti.
“Sejak April tahun lepas, dengan kerjasama Kerajaan Negeri Pulau Pinang, kami telah menyediakan tempat perlindungan di Kompleks Masyarakat Penyayang buat mereka yang tidak mempunyai tempat tinggal atau gelandangan.
“Bukan itu sahaja, persatuan kami turut membekalkan peralatan seperti pakaian perlindungan diri (PPE), katil (500), bantal dan selimut serta makanan kepada Jabatan Penjara Pulau Pinang,” tambahnya lagi.
Sementara itu, Dr. Chow Ting Soo menzahirkan ucapan terima kasih kepada Persatuan Buddhist Tzu Chi di atas sumbangan ikhlas yang diberikan.
“Sebagai wakil dari pihak HPP, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Tzu Chi kerana terus-terusan menghulurkan bantuan, ditambah lagi dengan penyediaan makanan tengah hari vegetarian kepada para petugas.
“Para petugas berusaha sehabis baik memberi rawatan tanpa henti dan sumbangan ini sememangnya akan lebih mendorong semangat mereka,” katanya.
Oleh: NUR ASHIKIN ISMAIL
Gambar: PERSATUAN BUDDHIST TZU CHI