Rivanis, 177 RMM ditawar secara percuma kepada penduduk asal Kampung Manis layak – Anthony Loke

Admin
1ccf6940 8d5e 46ff 9536 34ba246a6842 KETUA Menteri (berdiri, lima dari kiri), Anthony Loke Siew Fook (berdiri, tiga dari kanan) bersama-sama beberapa pemimpin lain menyaksikan majlis menandatangani dua perjanjian persefahaman (MoU) bagi projek pembangunan semula bandar dekat tanah Kampung Manis, di The Light Hotel Seberang Jaya pada 11 November 2024.

SEBERANG JAYA – Projek pembangunan bercampur yang dikenali sebagai ‘Rivanis’ termasuk pembinaan unit kediaman kepada penduduk asal Kampung Manis diharap selari dengan usaha Kerajaan Negeri hari ini iaitu meningkatkan daya huni rakyat Pulau Pinang, sebagaimana dalam Visi Penang2030.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata demikian sebelum menyaksikan wakil Perbadanan Aset Keretapi (RAC) dan Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang (LPNPP) memeterai perjanjian persefahaman (MoA) serta menandatangani perjanjian induk (HoA) antara RAC dan pemaju, Rivanis Ventures Sdn. Bhd. bagi pelaksanaan projek pembangunan di atas sebahagian tanah Lot 286, Lot 65 dan Lot 67 Bandar Perai di sini pada pagi tadi.

“Sebenarnya perancangan pembangunan Kampung Manis sudah lama dalam agenda Kerajaan Negeri, tetapi kita tidak dapat ‘bergerak’ kerana (tanah Kampung Manis adalah milik) RAC di bawah Kerajaan Persekutuan.

“Pada hari ini, oleh kerana kita (Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan Kerajaan Persekutuan) sudah dalam ‘satu keluarga’, kita (Kerajaan Negeri) mengalu-alukan lebih banyak projek Persekutuan diluluskan untuk negeri Pulau Pinang.

“Saya harap projek ini dapat disegerakan…kita (Kerajaan) dapat membantu pengundi kita mengubah nasib mereka melalui projek (pembangunan bercampur) sedemikian,” jelasnya yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi dalam majlis berkaitan.

Kon Yeow yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan turut merakamkan penghargaan atas langkah proaktif Dato’ Seri S. Sundarajoo (ADUN Perai merangkap Exco Perumahan dan Alam Sekitar) mengadakan siri perbincangan dengan Kementerian Pemgangkutan (MoT) dan RAC bagi merealisasikan cadangan projek pembangunan bercampur tersebut.

Difahamkan, projek pembangunan bercampur tersebut dikenali sebagai ‘Rivanis’ bersempena gabungan dua patah perkaraan iaitu ‘River’ (Sungai) dan Manis (Kampung Manis).

Lot 286, Lot 65 dan Lot 67 bakal merangkumi Rumah Mampu Milik (RMM) Jenis B Khas yang mana spesifikasinya adalah setaraf dengan RMM Jenis C3.

Selepas selesai pembinaan, pembangunan berkaitan akan merangkumi pelbagai komponen pembangunan lain seperti kondominium, pusat komersial, pandu lalu dan pangsapuri perkhidmatan yang akan menyumbang kepada pembentukan landskap bandar lebih moden serta dinamik.

Fasa pertama pembangunan tersebut akan merangkumi 338 unit RMM berkeluasan 850 kaki persegi dan ianya juga akan dilengkapi dengan kemudahan awam seperti kolam renang, taman permainan kanak-kanak dan gimnasium.

f0efdd88 737f 4e67 b15a 62372aec0720
ANTHONY Loke Siew Fook (kiri) dan Ketua Menteri (kanan) dalam sidang media berkaitan di sini menjelang tengah hari tadi.

Berucap sebelum itu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook menyatakan bahawa kementeriannya berharap projek tersebut dapat disiapkan sebelum berlangsung pilihan raya umum akan datang atau dalam tempoh maksikum selama tiga tahun dari sekarang.

Dalam sidang media selepas itu, Siew Fook yang juga Ahli Parlimen Seremban, Negeri Sembilan mengesahkan seramai 177 unit Rumah Mampu Milik (RMM) ditawarkan secara percuma kepada penduduk asal Kampung Manis yang layak.

Menurut beliau, para penerima berkenaan ditawarkan RMM jenis bertingkat dengan luas lantai 850 kaki persegi yang bernilai dalam lingkungan RM400,000 seunit.

“(Mereka yang layak) ditawarkan rumah secara percuma.

“Bagi satu unit rumah (asal) mereka ‘ditukarkan’ dengan satu unit rumah baharu… termasuk parkir.

“Syarat kita (MoT) adalah blok pangsapuri 30 tingkat itu mesti dibina terlebih dahulu, apabila siap, penduduk akan ditempatkan (semula), baru boleh dirobohkan rumah-rumah asal sedia ada untuk tujuan pembangunan bercampur dan komersial yang lain,” ujarnya sambil memberitahu bahawa nilai pembangunan kasar (GDV) bagi keseluruhan projek pembangunan bercampur dan lot komersial tersebut bernilai kira-kira RM1.5 bilion.

Dengan bank tanah yang diserahkan oleh RAC, katanya, Rivanis Ventures Sdn. Bhd. sebenarnya mampu membiayai kos projek pembangunan bercampur termasuk membekalkan unit kediaman secara percuma kepada penduduk Kampung Manis yang layak.

Mantan Ketua Menteri merangkap Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng; Menteri Sumber Manusia merangkap Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Pulau Pinang, Steven Sim Chee Keong; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Zulkifli Long dan Setiausaha Kementerian bagi MoT, Dato’ Jana Santhiran Muniayan turut sertai majlis tersebut.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif RAC, Dato’ Azhar Ahmad; Pengarah Rivanis Ventures Sdn. Bhd., Dato’ Seri Nazir Ariff Mushir Ariff dan Ketua Pegawai Bisnes LPNPP, Fakhurrazi Ibnu Omar.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD
Video : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI