Rizab Biosfera UNESCO, Bukit Bendera berpotensi

BUKIT Bendera yang merupakan lokasi tarikan pelancongan bukit tinggi berkonsepkan hutan semula jadi di negeri ini berpotensi besar diiktiraf sebagai Rizab Biosfera oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Malaysia kini mempunyai dua khazanah semula jadi yang menerima pengiktirafan antarabangsa tersebut iaitu Tasik Chini di Pahang dan Banjaran Crocker dekat Sabah yang masing-masingnya diwartakan pada tahun 2009 serta 2014.

Difahamkan, untuk tujuan tersebut, satu pasukan yang terdiri daripada The Habitat Penang Hill (The Habitat), Perbadanan Bukit Bendara (PHC), sekumpulan penyelidik dari Universiti Sains Malaysia (USM) serta beberapa agensi lain komited mengumpul data bagi penyediaan dosir untuk dikemukakan kepada pihak UNESCO.

Menurut Pengarah Urusan Kumpulan The Habitat, ALLEN TAN, dosir tersebut telah diserahkan kepada pihak UNESCO pada 30 September 2020 oleh Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) setelah mendapat kelulusan Jemaah Menteri.

Difahamkan, permohonan berkenaan dijangka mengambil masa kira-kira setahun untuk proses penilaian pihak UNESCO.

“Mungkin sekitar bulan Jun hingga Julai 2021, pihak kita akan menerima maklum balas pertama berhubung permohonan pewartaan tersebut.

“Cadangan kawasan atau zon lingkungan terlibat untuk Rizab Biosfera ini adalah seluas 12,481 hektar dengan 7,285 hektar meliputi kawasan daratan serta 5,196 hektar (lautan atau marin).

“Zon ini termasuk Bukit Bendera sebagai kawasan utama, diikuti Taman Negara Teluk Bahang, Taman Botani Pulau Pinang, enam hutan simpan termasuk Hutan Simpan Laksamana dan dua empangan iaitu Empangan Teluk Bahang dan Empangan Air Itam,” ujarnya ketika ditemui Buletin Mutiara baru-baru ini.

Rizab Biosfera didefinisikan oleh UNESCO sebagai lokasi yang terdiri daripada kawasan daratan dan marin atau gabungan setiap satunya diiktiraf secara berperingkat di bawah program UNESCO Man and The Biosphere (MAB) atau Program Manusia dan Biosfera.

Terdapat 701 Rizab Biosfera dekat 124 negara seluruh dunia yang mana 157 daripada rizab-rizab berkenaan terletak di 24 negara Asia Pasifik.

Difahamkan, bagi merealisasikan harapan tersebut, pasukan tersebut di bawah wibawa Pengurus Besar PHC, Dato’ Cheok Lay Leng hanya mengambil masa sekitar 10 bulan bermula dari Januari hingga Oktober 2018 bagi memuktamadkan zon linkungan sebelum dikemukakan kepada UNESCO.

“Syukur… di bawah kepimpinan beliau (Lay Leng), kami berjaya memuktamadkan zon linkungan ini meskipun ia adalah sesuatu yang rumit serta agak sensitif kerana melibatkan tanah persendirian juga,” ulasnya.

Sejarah

The Habitat menjadi sebahagian daripada penyumbang pengumpulan maklumat dan data yang diperoleh melalui Simposium Penang Hill Bioblitz pada bulan April 2017.

Menurut Allen, symposium tersebut berjaya mengumpulkan 117 saintis serta pelajar dari seluruh pelosok dunia bagi melaksanakan kajian mengenai keanekaragaman flora dan fauna yang terdapat di Bukit Bendera khususnya.

“Lebih daripada 2,500 spesies flora dan fauna telah dijumpai, termasuk spesies aneh yang belum pernah ditemui sebelumnya.

“Hasil daripada penemuan, maklumat serta data yang dikumpul menyakinkan lagi bahawa Pulau Pinang adalah calon terbaik untuk menerima pengiktirafan di bawah MAB ini,” tambahnya.

Menurut Allen, meskipun pewartaan tersebut kelak tidak akan menyumbang kepada sebarang dana daripada pihak UNESCO, namun dengan menjadi salah satu daripada senarai kumpulan di bawah payung badan dunia tersebut sudah cukup memberikan banyak kelebihan daripada segi perkongsian pengalaman.

“Pewartaan ini tidak menjanjikan bentuk dana akan diberikan, namun pengiktirafan ini kelak akan menempa nama Pulau Pinang di mata dunia.

“Dengan lebih 700 Rizab Biosfera di seluruh dunia, pertukaran, perkongsian pengalaman dan pengetahuan adalah sangat besar, banyak yang boleh dipelajari… dan yang lebih istimewa adalah jika pewartaan ini berjaya diperoleh, Pulau Pinang bukan sahaja mempunyai kawasan Tapak Warisan Dunia UNESCO George Town, malah pada masa sama Rizab Biosfera di bawah kategori tapak warisan alam sekitar,” katanya teruja.

Keunikan Pulau Pinang

Siapa sangka, dengan keluasan bahagian pulau Pulau Pinang yang hanya 285 kilometer persegi dengan berkepadatan penduduk tinggi, ia menempatkan 1001 khazanah alam semula jadi dan ‘green lung’ yang mempesona.

Berkongsi keterujaan, Allen memberitahu bahawa pengunjung dapat menikmati keindahan serta kesegaran hutan hujan berusia 130 juta tahun di Pulau Pinang dengan hanya menggunakan akses jaringan perkhidmatan tersedia.

“Dalam jarak lapan kilometer dari Tapak Warisan Dunia UNESCO George Town, pengunjung boleh sampai ke Bukit Bendera, manakala hanya sekitar 40 minit dari Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PIA).

“Kita (Bukit Bendera) mempunyai pelbagai jenis ekosistem di lokasi yang kecil dan padat, kita ada laut, hutan bakau, hutan hujan di atas ketinggian 833 meter dari permukaan laut serta pelbagai lagi di sebuah negeri berstatus urban tetapi masih kaya dengan keanekaragaman yang boleh dihayati,” jelasnya.

Mengambil contoh penemuan ‘vampire crab’ di Bukit Bendera pada penganjuran Simposium Penang Hill Bioblitz tiga tahun lalu, Allen menterjemahkannya sebagai sesuatu yang pelik tetapi benar apabila ketam hanya sebesar duit syiling 20 sen dijumpai dalam kawasan hutan dan bukannya ekosistem marin sebagaimana habitat asal haiwan berkenaan.

“Pengunjung malah saya sendiri merasa luar biasa dan teruja kerana menjumpai ketam di kawasan hutan serta berbukit, siapa sangka” kongsi beliau.


Pusat Penyelidikan Hutan Hujan Tropika

Pada masa sama, The Habitat kini sedang menjalinkan kerjasama dengan PHC untuk memulihkan semula banglo warisan di Bukit Bendera yang dikenali sebagai Fernhill untuk dijadikan Pusat Penyelidikan Hutan Hujan Tropika.

“Kami ingin mewujudkan ekonomi baharu buat Pulau Pinang yang berkisar kepada kajian hutan hujan tropika serta kajian perubahan iklim.

“Melalui The Habitat Foundation, kita akan cuba untuk menarik para saintis dari seluruh dunia untuk menjalankan kajian hutan hujan tropika dan perubahan iklim di sini.

“Projek seumpamanya (Pusat Penyelidikan Hutan Hujan Tropika) dapat mewujudkan ekonomi pintar serta menyumbang ke arah merealisasikan visi Penang2030,” ujarnya lanjut.

Agak sama dengan peranan Pusat Luar Lembah Danum atau dikenali sebagai Danum Valley Field Center (DVFC) yang dibuka pada 1986, Allen menyifatkan ia adalah langkah strategik yang boleh diikuti dalam menarik minat para saintis dunia untuk melakukan kajian mereka di Pulau Pinang.

“Kebiasaannya, golongan saintis ini mempunyai geran mereka tersendiri yang diperoleh daripada pelbagai sumber, justeru adalah amat penting untuk kita mewujudkan sebuah pusat penyelidikan serta membangunkan ekonomi baharu untuk negeri,” ulasnya.

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI, CHAN KOK KUAN DAN CHRISTOPHER TAN