Rizab tunai RM1.29 bilion, surplas 2013 RM1. 3 juta

GEORGE TOWN – Kejayaan Kerajaan Negeri mencapai surplas sebanyak RM1.3 juta sehingga tarikh 31 Disember tahun lepas sungguhpun Bajet 2013 menganggarkan defisit kewangan berjumlah RM262.04 juta mendapat pujian daripada Laporan Ketua Audit Negara.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, Kumpulan Wang Disatukan Kerajaan Negeri mencecah RM1.29 bilion bagi tahun berakhir 31 Disember
2013, iaitu kenaikan sebanyak 8.4 peratus berbanding tahun sebelumnya, iaitu merupakan simpanan tertinggi pernah dicapai.

“Ini bermakna Kerajaan Negeri meneruskan rekod belanjawan lebihan atau surplas untuk setiap tahun sejak 2008,” ujarnya semasa membentangkan bajet Kerajaan Negeri 2015 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang di sini baru-baru ini.

Beliau turut menyanggah dakwaan pembangkang kononnya dua pencapaian tersebut adalah berpunca daripada amalan tadbir urus kewangan secara ‘kedekut’ oleh Kerajaan Negeri.

“Sebenarnya Kerajaan Negeri membelanjakan RM832.42 juta pada tahun 2013, berbanding perbelanjaan berjumlah RM540.08 juta (2012).

“Kerajaan Negeri hanya berjimat cermat kerana tidak mahu pemborosan, pembaziran, di samping membendung penyelewengan dalam pengurusan kewangan,” kata beliau yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Penerangan, Kebudayaan & Kesenian, Warisan dan Hal Ehwal Bukan Islam.

Dalam perkembangan berkaitan, Guan Eng berkata, Kerajaan Negeri sejak tahun 2008 telahpun mengagihkan lebih RM192.98 juta hasil negeri secara langsung dan tunai kepada rakyat terpilih.