RM1.39 juta kos naik taraf kemudahan Taman Negeri Bukit Panchor, Exco beritahu pembangkang

Admin
WONG Hon Wai

GEORGE TOWN – Sejak tahun 2019 hingga kini, Jabatan Perhutanan Negeri telah menerima peruntukan sebanyak RM1.39 juta untuk kerja-kerja menaik taraf kemudahan awam di Taman Negeri Bukit Panchor dekat Daerah Seberang Perai Selatan (SPS).

Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Wong Hon Wai berkata bahawa sepanjang tahun 2021 hingga 2022, sebanyak 61 program telah dianjurkan di kawasan rekreasi ekopelancongan tersebut dengan melibatkan sekolah-sekolah, jabatan kerajaan, perseorangan, badan bukan kerajaan (NGO) dan syarikat swasta.

“(Sepanjang tahun 2021 hingga 2022,) penyertaan peserta seramai 5,067 orang.

“Ini menunjukkan taman ini menjadi pilihan orang ramai susulan infrastruktur dan kemudahan serta modul pembelajaran yang telah disediakan oleh pihak Kerajaan Negeri,” jelasnya Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Terubong semasa sesi penggulungan sempena Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Ke-15 di sini pada 29 November 2023.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut menjelaskan beberapa usaha lain yang dilakukan melalui Jabatan Perhutanan Negeri dengan menaik taraf kemudahan di taman-taman rimba lain bagi mewujudkan produk tarikan baharu negeri, sebagai menjawab perkara yang dibangkitkan oleh ADUN Sungai Bakap, Nor Zamri Latiff.

Berikut adalah senarai kerja-kerja pembinaan dan penaiktarafan kemudahan di taman-taman rimba yang sedang dilaksanakan oleh Jabatan Perhutanan Negeri;-

* Jeti Terapung di Hutan Pelajaran Air Itam Dalam, Seberang Perai Utara,elah dibuka kepada pengunjung aktiviti ‘Sungai Perai River Cruising’ pada tahun 2022;

* Menaik taraf tapak semaian kepada Pusat Pembelajaran Tapak Semaian Bukit Mertajam di Taman Rimba Bukit Mertajam yang mana projek pembinaan telah selesai dan akan mula dibuka kepada orang ramai bermula Januari 2024;

* Pembaikan cerun dan laluan pejalan kaki ke puncak Bukit
Mertajam (Cherok Tok Kun) sedang dalam pembinaan dan dijangka dibuka kepada orang ramai pada bulan Jun 2024;

* Pembinaan laluan pejalan kaki ke puncak Bukit Panchor, Taman Negeri Bukit Panchor sedang dalam pembinaan
secara berfasa dan dijangka dibuka kepada orang ramai pada
tahun 2024;

* Pembinaan laluan pejalan kaki di sekitar Hutan Paya Laut Balik Pulau sehingga ke pesisir Pantai Malindo, Kampung Sungai Burung, Balik Pulau sedang dalam pembinaan secara berfasa dan dijangka dibuka kepada orang ramai pada tahun 2024.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : SIEW CHIA EN