Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB
BAGAN – Pemulihan semula taman permainan lengkap dengan sistem perparitan cegah banjir berdekatan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Kwong Hwa, Jalan Raja Uda di sini menelan belanja kira-kira RM1.5 juta peruntukan Kerajaan Negeri.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, Kerajaan Negeri memilih kontraktor tempatan melalui tender terbuka demi integriti politik di negeri berkenaan.
Guan Eng berkata, kerja-kerja pembangunan di tapak seluas 7,000 kaki persegi itu bermula pada 15 Mac lepas.
Jelasnya, kawasan penempatan serta sekolah berkenaan seringkali menerima banjir kilat ekoran tiada sistem perparitan yang baik.
“Ekoran itu, Kerajaan Negeri berharap projek pembangunan itu boleh siap dalam tempoh enam bulan demi kepentingan rakyat setempat,’’ katanya ketika mengadakan lawatan kerja di sini baru-baru ini.
Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Utiliti, Lim Hock Seng serta Maimunah Mohd. Sharif (Yang Dipertua Majlis Perbandaran Seberang Perai, MPSP) turut menyertai lawatan kerja Guan Eng itu.
Sebelum pada itu, Guan Eng menyertai satu program amal bersama-sama pelajar sekolah rendah berkenaan.
Ahli Parlimen Bagan itu dikeremuni serta diramahi pelajar-pelajar, sambil diminta tandatangan kenang-kenangan sebagai tanda cakna Kerajaan Negeri sejak lima tahun lepas dihargai.