RM1.65 juta disalur bagi menyelenggara 10 KR, KSR sekitar Batu Uban, ADUN zahir penghargaan kepada Kerajaan Negeri

Admin

BATU UBAN – Penduduk Flat Sunway Ceria dekat Bukit Gambir di sini mampu menarik nafas lega apabila penantian mereka untuk mendapatkan kemudahan lif diluluskan Kerajaan Negeri baru-baru ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Uban, A. Kumaresan pada majlis perasmiannya baru-baru ini berkata, Kerajaan Negeri telah membuktikan keprihatinannya dengan meluluskan permohonan beliau demi keselesaan dan keselamatan penduduk.

“Awal tahun ini, saya telah turun padang bagi melihat sendiri permasalahan penduduk setelah menerima aduan daripada pihak pengurusan Sunway Ceria.

“Ketika itu hanya satu lif berfungsi tetapi dalam keadaan tidak selamat untuk digunakan penduduk, manakala sebuah lagi telah rosak sepenuhnya.

“Lantas, saya telah membangkitkan keperluan segera kepada Exco Perumahan, YB Jagdeep Singh Deo, dan syukur jawatankuasa telah meluluskan peruntukan 80 peratus bagi menggantikan dua unit lif di sini melalui Tabung Penyelenggaraan Maksimum 80 Peratus Pulau Pinang (TPM80PP),” ujarnya sambil menzahirkan sekalung penghargaan di atas keprihatinan Kerajaan Negeri terhadap keperluan rakyat.

Difahamkan bahawa kos menggantikan dua unit lif berkenaan mencecah RM135,000, di mana 80 peratus kosnya iaitu RM108,000 ditanggung melalui TPM80PP, manakala baki RM27,000 (20 peratus) oleh penduduk.

Mengulas lanjut, Kumaresan memberitahu bahawa sehingga kini Kerajaan Negeri telah menyalurkan sejumlah RM1.65 juta bagi menyelenggara dan melaksanakan pelbagai kerja penaiktarafan  di 10 rumah kos rendah (KR) dan kos sederhana rendah (KSR) di Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Batu Uban.

“Sehingga kini, saya telah berjaya mendapatkan peruntukan RM1.6 juta daripada Kerajaan Negeri, dan usaha akan diteruskan dengan mengadakan lebih banyak penglibatan dengan penduduk Batu Uban,” ujarnya lanjut.

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar : ADUN