RM1.65 juta naik taraf balapan ‘Stadium Jalan Betek’, sementara waktu untuk kegunaan atlet negeri sahaja

BALAPAN Kompleks Sukan dan Rekreasi Jalan Betek yang siap dinaik taraf di sini adalah mematuhi piawaian Persekutuan Olahraga Antarabangsa (IAAF), kata Exco Belia dan Sukan.

PADANG LALANG – Projek penaiktarafan balapan di Kompleks Sukan dan Rekreasi MBSP dekat Jalan Betek dengan perbelanjaan sebanyak RM1.65 juta telah siap sepenuhnya dan buat sementara waktu ini hanya akan digunakan oleh para atlet negeri sebagai persiapan menghadapi saingan Sukan Malaysia (Sukma) 2022 yang dijangka pada Jun depan.

SOON Lip Chee

Mengulas lanjut, Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee berkata bahawa balapan di sini mungkin akan dibuka pada waktu tertentu seperti di Stadium Negeri Pulau Pinang dekat Batu Kawan, jika ada permintaan pada masa hadapan untuk kegunaan orang awam.

“Tidak ada balapan di luar ‘Stadium Batu Kawan’, maka di sana kita buka untuk orang awam menggunakan balapan untuk aktiviti rekreasi dan sebagainya.

“Tetapi di sini (Kompleks Sukan dan Rekreasi MBSP dekat Jalan Betek) telah ada kemudahan untuk aktiviti berjoging di luar (bangunan) stadium, maka, buat sementara waktu ini balapan yang telah siap dinaik taraf oleh Kerajaan Negeri melalui Perbadanan Stadium dan Kawasan Lapang akan digunakan khusus untuk para atlet negeri berlatih sebelum SUKMA 2022 pada Jun nanti.

“Walau bagaimanapun, jika ada permintaan pada masa hadapan untuk membuka balapan di sini (Kompleks Sukan dan Rekreasi MBSP dekat Jalan Betek), akan kita pertimbangkan demi merealisasikan misi ‘Sukan Untuk Semua’,” jelasnya kepada pemberita selepas melawat tapak projek penaiktarafan tersebut di sini pada 7 Februari 2022.

Menjawab soalan pemberita selepas itu, Lip Chee yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Jermal memberitahu bahawa cadangan peruntukan bagi menaik taraf padang di Kompleks Sukan dan Rekreasi MBSP dekat Jalan Betek akan dimasukkan dalam permohonan berwajib bagi Bajet 2023 Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

Difahamkan, Kompleks Sukan dan Rekreasi MBSP dekat Jalan Betek dibina pada tahun 2006 sebelum Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) menyerahkan fasiliti stadium mini tersebut (tidak termasuk kompleks renang dan gimnasium kepada Kompleks Sukan dan Rekreasi MBSP dekat Jalan Betek untuk kerja-kerja penyelenggaraan dan pengurusan kemudahan.

Pada 11 Oktober 2021, Active Hydro Control Sdn. Bhd. memulakan kerja-kerja penyelenggaraan berkaitan dengan kos RM1,650,000 dan siap sepenuhnya selepas 10 minggu pada 19 Disember tahun lalu.

Skop projek penaiktarafan adalah meliputi ‘synthetic running track’, sistem saliran dan peralatan bagi acara lari berhalangan, pit lompat jauh, pit lompat kijang, lontar peluru, membaling tukul besi dan melempar cakera dan lombol bergalah.

 

AZHAR Arshad

Datuk Bandar bagi Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Dato’ Azhar Arshad yang turut serta melawat tapak projek penaiktarafan tersebut memberitahu bahawa pihaknya berharap kadar sewaan balapan untuk pihak sekolah dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menggunakan semua kemudahan itu terus dikekalkan mengikut kadar sedia ada yang ditetapkan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) sebelum ini.

Wakil kepada ADUN Padang Lalang, Chong Eng yang juga Exco Pembangunan Sosial dan Hal Ehwal Bukan Islam; dan wakil kepada Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong turut menyertai lawatan ringkas tersebut.

SOON Lip Chee (tengah) bersama-sama Azhar Arshad (kanan) dan Ahli Majlis MBSP, Bernard Cheen Goon Hooi semasa melawat tapak projek penarafan balapan ‘Stadium Jalan Betek’ yang telah siap di sini pada pagi tadi.

Terdahulu, Lip Chee pada 24 Januari lepas mengumumkan bahawa balapan Stadium Negeri Pulau Pinang dekat Batu Kawan kembali dibuka kepada orang awam untuk aktiviti rekreasi bermula 1 Februari 2022, selepas projek penaiktarafan dan penyelenggaraan fasiliti berwajib dengan perbelanjaan Kerajaan Negeri kira-kira RM5,279,725 siap sepenuhnya.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD