Oleh: NORSHAHIDA YUSOFF
GEORGE TOWN – Atas keprihatinan, Kerajaan Negeri telah bersetuju memberikan insentif elaun RM100 sebulan kepada penarik beca di negeri ini berbanding RM100 setiap dua bulan yang diumumkan baru-baru ini.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, Kerajaan Negeri telah mengkaji semula cadangan tersebut dan memutuskan untuk membayar RM100 sebulan sekiranya penarik beca bersetuju untuk menghadiri dan menyertai program Hari Tanpa Kenderaan George Town yang telah dilancarkan baru-baru ini.
“Kita tidak paksa mereka untuk terima dan turut serta. Kita hanya ingin menolong dan membantu mereka menyediakan peluang menjana pendapatan tambahan,” ujarnya pada sidang media baru-baru ini.
Kerajaan Negeri mensyaratkan agar mereka (penarik beca) mendaftar dengan Jabatan Pelancongan Pulau Pinang. Bonus RM20 juga akan diberikan sekiranya kehadiran penuh setiap minggu pada hari tanpa kenderaan dijalankan.
Bagi Yang di-Pertua salah satu persatuan penarik beca Pulau Pinang, Abd. Latiff Mohamad, beliau bersyukur dengan inisiatif Kerajaan Negeri.
“Sebagai penarik beca, pendapatan kami tidak tetap, pemberian elaun RM100 ini terpulang kepada Kerajaan Negeri dan amat bermakna, asalkan periuk nasi kami tetap dijaga,” ujarnya kepada wakil Buletin Mutiara baru-baru ini.
Hari Tanpa Kenderaan Georgetown yang diusahakan Kerajaan Negeri bersama Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) diadakan pada setiap Ahad dari 7 pagi hingga 5 petang melibatkan jalan yang terpilih di sekitar bandar raya George Town mulai 11 Disember lalu.