RM100,000 elaun tambahan setiap tahun – guru KAFA bersyukur dihargai

Admin
PELAJAR-pelajar SAR Taman Tun Sardon ceria mengikuti pembelajaran.
PELAJAR-pelajar SAR Taman Tun Sardon ceria mengikuti pembelajaran.

OLEH : AINUL WARDAH SOHILI

GAMBAR : KHAIROL IKRAM SALAMAT

GEORGE TOWN – Kelas Al-Quran dan Fardhu ‘Ain atau lebih dikenali sebagai KAFA bukanlah sesuatu yang baharu dalam masyarakat kita. Akan tetapi, dewasa ini, signifikan KAFA dilihat dari perspektif yang berbeza. Jika dahulu, KAFA merupakan kelas tambahan untuk mempelajari atau mendalami ilmu dinniyyah tapi kini KAFA menjadi kelas tambahan untuk memenuhi masa lapang.

Penubuhan KAFA di Pulau Pinang telah bermula sejak tahun 1990 lagi dan kini terdapat lebih daripada 285 buah pusat pendidikan KAFA di Pulau Pinang. KAFA adalah bagi murid-murid Tahun Satu hingga Tahun Enam.

KAFA terbahagi kepada dua sesi, iaitu sesi pagi antara jam 8.00 – 11.00 pagi dan sesi petang antara jam 3.00 – 6.00 petang. Kini KAFA mempunyai pengkhususan kurikulum dan garis panduan yang dicadangkan oleh pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan berada di bawah seliaan Jabatan Agama Islam Pulau Pinang (JAIPP).

Sayugia, Kerajaan Negeri Pulau Pinang, di bawah pimpinan Pakatan Rakyat (PR), memberi sepenuh perhatian terhadap keberkesanan dan pelaksanaan KAFA di Pulau Pinang. Di bawah dasar PR, sejumlah RM100,000 elaun tambahan telah diperuntukkan khas untuk guru-guru KAFA. Bukan itu sahaja, malah, PR juga turut memberi hadiah dan penghargaan kepada guru-guru KAFA antara RM100 ke RM250 setiap kali sambutan Maal Hijrah, Awal Muharram dan Hari Raya Aidilfitri. Sumbangan wang ringgit ini merupakan inisiatif dan insentif Kerajaan PR untuk melestarikan pendidikan agama Islam di Pulau Pinang.

Menurut Siti Rohani Md.Noor, salah seorang guru KAFA di KAFA Al-Manshoor, Batu Uban, beliau bersyukur kerana Kerajaan PR sangat mengambil berat akan kebajikan guru-guru KAFA.

SITI Rohani Md.Noor membetulkan bacaan tajwid pelajar di Pusat KAFA Al-Manshoor, Batu Uban.
SITI Rohani Md.Noor membetulkan bacaan tajwid pelajar di Pusat KAFA Al-Manshoor, Batu Uban.

Alhamdulillah, saya bersyukur setakat yang ada. Elaun pun alhamdulillah,” ucap beliau. Pusat KAFA Al-Manshoor, Batu Uban terletak berdekatan Masjid Batu Uban dan murid-muridnya adalah di kalangan penduduk setempat.

Ada di kalangan mereka yang datang daripada keluarga orang susah. Jadi kita terima mereka, kita tidak kenakan sebarang yuran kepada mereka. Sebaliknya kita adakan kutipan dana untuk menampung kekurangan,” ujar Siti Rohani.

Tegas beliau, semangat anak-anak kecil lebih menjadi keutamaan dari membebani keluarga mereka dengan pembayaran yuran. Walaupun yuran yang dikenakan sangat rendah antara RM10 hingga RM15 sebulan, tetapi masih ada segelintir yang tidak mampu untuk membayarnya.

Di sini, kita memberi penekanan dalam pelbagai aspek termasuk feqah, akhlak, aqidah, ibadah, tajwid malah bagi sesi petang, kita wajibkan amali solat, yakni solat asar berjemaah sebelum balik,” tambah beliau lagi.

Beliau yang sudah fasih dengan tingkah laku murid-muridnya sangat bersyukur kerana dalam kesempitan dan kekurangan fasiliti di premis tersebut, sumbangan ikhlas orang ramai tidak pernah putus dan beliau berharap agar lebih ramai tampil memberi sumbangan bagi perkembangan pusat KAFA tersebut.

Bagi Mohd. Zain, Setiausaha Jemaah Pentadbir Sekolah Agama Rakyat Taman Tun Sardon (SARTTS), murid-murid yang mendaftar diri di SARTTS bukan sahaja daripada kalangan warga tempatan malah terdapat juga warga asing terutamanya dari Indonesia mendaftarkan anak-anak mereka untuk mempelajari dan mengikuti kelas KAFA ini.

MOHD.  Zain.
MOHD. Zain.

Kawasan di sini unik, dari 400 murid ada yang Melayu kita, ada yang warga luar. Kami terima kerana pengajian agama ini tidak terhad. Sesiapa yang nak belajar agama kita kena terima,” ujar beliau memulakan bicara.

Menurut Mohd. Zain, cabaran terbesar adalah untuk menarik perhatian budak-budak nakal untuk menghadiri kelas KAFA. Hal ini, menurut beliau, terdapat juga di kalangan murid-murid SARTTS yang nakal, tetapi mereka masih lagi dapat dibentuk dan dikawal.

Budak-budak zaman sekarang ni, kita tak tahu apa yang dia belajar di sekolah, jadi kita di sini cuba nak bentuk sahsiah mereka, cuba nak tarik minat mereka sertai kelas KAFA selepas waktu sekolah,” ujar beliau.

SARTTS mempunyai sistem pendaftaran berintegriti dan sistematik. Pendaftaran dibuka seawal bulan Oktober setiap tahun. SARTTS mempunyai 12 tenaga pengajar dan ada di kalangan guru KAFA tersebut yang telah bertugas selama lebih 15 tahun.

Kita mohonlah ibu bapa ni supaya datang dan mendaftar anak-anak mereka yang berusia 7 hingga 12 tahun untuk mengikuti kelas KAFA. Datang awal. Pengajian KAFA ini bukan kelas tambahan tapi lebih kepada tempat pengajian menambah ilmu,” ujar beliau.

Murid-murid yang telah tamat pengajian KAFA akan diberi sijil oleh pihak sekolah, manakala bagi murid-murid tahun 6, mereka akan menerima sijil tamat pengajian daripada pihak JAKIM dan JAIPP.

Alhamdulillah, sekarang ini sudah banyak perubahan. Elaun guru KAFA pun sudah naik jadi RM800. Kami di SARTTS ada bagi sedikit imbuhan bagi menampung keperluan guru KAFA kita. Sekarang ini semua orang gaji sudah RM1,000, jadi kita cuba bagi selagi termampu. Kerajaan pun bagus, bagi sumbangan setiap tahun. Guru-guru pun seronok,” ujar beliau.

Rata-rata guru KAFA menzahirkan rasa syukur dengan kenaikan elaun tersebut. Malah mereka merasakan bahawa sokongan kerajaan terutamanya Kerajaan Negeri sangat dihargai.

Kami bukan mengharapkan wang ringgit, kami inginkan sokongan bukan sahaja dari kerajaan malah ibubapa sendiri. Ini demi masa anak-anak dan negara kita,” ujar Siti Suhaila, salah seorang waris kepada dua anaknya yang didaftarkan untuk mengikuti kelas KAFA di Bayan Baru.

Di Pulau Pinang, kelas KAFA terbahagi kepada dua kategori iaitu:

  • KAFA Integrasi – Kelas yang dijalankan di SAR menggunakan kurikulum bersepadu, iaitu menggabungkan kurikulum SAR dan kurikulum KAFA. Kelas dijalankan 5 kali seminggu, mengikut sesi persekolahan.

  • KAFA Tulen – Kelas pengajian yang dijalankan di masjid, surau, madrasah, dewan dan sekolah kebangsaan yang terpilih menggunakan kurikulum KAFA sepenuhnya seperti yang ditetapkan oleh JAKIM. Kelas ini dijalankan 3 kali seminggu.

DUA pelajar KAFA khusyuk membaca Al-Quran di Pusat KAFA Al-Manshoor, Batu Uban di sini.
DUA pelajar KAFA khusyuk membaca Al-Quran di Pusat KAFA Al-Manshoor, Batu Uban di sini.