RM100,000 kos bumbung kekal diharap bawa manfaat kepada penduduk setempat – Ketua Menteri

Admin
697ae743 fbab 44cb b469 f370d0fe53fe KETUA Menteri (tengah) menyempurnakan acara perasmian projek bumbung kekal Surau Al-Syakirin Taman Belibis dekat Bukit Tambun di sini pada 8 September 2024.

BUKIT TAMBUN – Seperti dirancang, projek pembinaan bumbung kekal Surau Al-Syakirin Taman Belibis siap sepenuhnya dengan peruntukan Ahli Parlimen Batu Kawan yang berjumlah RM100,000.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow yang juga Ahli Parlimen Batu Kawan berharap projek menaik taraf infrastruktur tersebut dapat meningkatkan lagi kualiti penduduk setempat yang berbilang kaum termasuk umat Islam di sini.

“Saya bersyukur kerana ada kesempatan pada petang ini untuk menyaksikan penyempurnaan projek (pemajuan) bumbung kekal serta merasmikan projek ini.

“Kita bersyukur kerana peruntukan (RM100,000) Ahli Parlimen Batu Kawan dapat membawa impak positif kepada surau ini.

“Saya berharap dengan bumbung kekal ini, maka banyak lagi projek ataupun majlis-majlis dapat dianjurkan bagi membawa manfaat serta faedah kepada penduduk-penduduk di sekitar kawasan ini,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota di sini pada 8 September 2024.

Dalam perkembangan berkaitan, Kon Yeow yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi menyatakan bahawa pentadbirannya akan mempertimbangkan permohonan RM50,000 untuk projek infrastruktur lain seperti yang dimohon oleh pihak pentadbir surau berkenaan berdasarkan peruntukan berkaitan bagi tahun 2025.

Turut berucap, ADUN Bukit Tambun, Goh Choon Aik; Pengerusi Jawatankuasa Surau Al-Syakirin Taman Belibis, Zubir Ngah dan Penasihat Jawatankuasa Surau Al-Syakirin Taman Belibis merangkap pengarah projek pembinaan bumbung kekal, Mohd. Zaini Yusof.

Hadir sama, Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Lim Chee Chean; wakil Balai Polis Simpang Ampat, Sarjan Khairul Hasni dan wakil Pejabat Agama Daerah Seberang Perai Selatan (SPS), Ustaz Noor Amin Zainal Abidin.

Serentak pada majlis sama, Pengerusi Jawatankuasa Kariah Masjid Simpang Ampat, Ustaz Mohd. Subki Ibrahim mengumumkan projek bumbung kekal itu sebagai ‘Teduhan Al-Syakirin’ yang membawa maksud tempat berteduh orang-orang yang bersyukur.

Terdahulu, semasa lawatan kerja Kon Yeow ke Surau Al-Syakirin Taman Belibis pada bulan Mac tahun lepas, beliau ada menerima surat permohonan peruntukan projek pembinaan bumbung kekal di sini, untuk dipertimbang.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI
Video : DARWINA MOHD. DAUD