RM16 juta hasil promosi bayar cukai awal tahun

Admin

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

SEBERANG JAYA – Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) berjaya mengutip RM16 juta daripada 25,755 pembayar cukai premis sempena Promosi Bayaran Cukai Pintu 2014, melebihi sasaran awal tahun ini.

Yang di-Pertua MPSP, Maimunah Mohd. Sharif berkata, angka itu sekaligus mencerminkan keberkesanan majlis mengadakan cabutan bertuah sempena promosi bayaran cukai pintu yang diadakan saban tahun.

“Sebanyak 36 lagi penerima cabutan bertuah yang disenaraipendekkan akan mendapat hadiah masing-masing…bagi saya jauh lebih bernilai berbanding tahuntahun sebelum ini.

“Kesemua hadiah untuk 77 penama diraikan sebagai menghargai komitmen mereka membayar cukai setahun (2014) kepada MPSP berserta tunggakan (jika ada),” ujarnya kepada wartawan di Kompleks Ibu Pejabat MPSP, Bandar Perda di sini baru-baru ini.

Setiausaha MPSP, Sr. Rozali Mohamud dan barisan Ahli Majlis lain turut hadir pada sidang media, selepas majlis penghargaan tersebut.

Mountain Bike Exitway M6, Mountain Bike Bianchi KUMA, telefon pintar Samsung Galaxy S4, televisyen Samsung LED 32”, komputer riba Asus dan Ipad Mini antara hadiah bernilai yang diberikan kepada 36 pelanggan MPSP bertuah.

Direkodkan, MPSP berjaya mengutip RM20.32 juta (RM20,320,507.49) cukai pintu daripada 24,348 pelanggannya pada tahun 2013, manakala, RM15.051 juta daripada 21,495 pembayar cukai pada tahun sebelumnya (2012).

Sebelum itu, Maimunah merakamkan permohonan maaf kerana majlis penghargaan pembayar cukai terbabit dilangsungkan lewat hampir dua jam.

Maimunah dalam ucapan ringkasnya memberitahu, kelewatan majlis perhargaan itu adalah berpunca daripada mesyuarat penuh MPSP yang selesai lewat daripada masa perancangan.

Beliau turut memohon maaf kepada seorang pelanggan yang berang dengan kelewatan majlis penghargaan tersebut.

“Kita akan memperbaiki mutu pelanggan…saya memohon maaf atas kesulitan yang tidak disengajakan,” jelas Maimunah dalam ucapannya.