RM19 juta naik taraf sistem saliran, MBPP laksana operasi pembersihan berjadual

GEORGE TOWN – Hampir RM19 juta dibelanjakan bagi menaik taraf sistem saliran dan peparitan di bahagian pulau bagi tahun 2018 dan 2019.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo berkata, jumlah yang dibelanjakan tersebut sekaligus menangkis dakwaan sebuah akhbar berbahasa Inggeris yang melaporkan bahawa pihak berkuasa tempatan tidak menyelenggara sistem saliran dan peparitan dengan baik.

“Jumlah RM19 juta itu hanya bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan kerja-kerja pembersihan merupakan suatu usaha yang berterusan yang menjadi tanggungjawab pihak berkuasa tempatan berkaitan.

“Pendekatan yang diambil dalam pembersihan longkang-longkang ini termasuklah operasi pembersihan secara berjadual dan berterusan termasuk tindakan penguatkuasaan,” ujarnya kepada pemberita pada sidang media di Pesara Claimant dekat sini hari ini.

Hadir sama, Datuk Bandar bagi MBPP, Dato’ Ar. Yew Tung Seang; Ahli Majlis bagi MBPP, Nicholas Theng Jie Wey dan Pengarah Jabatan Perkhidmatan Perbandaran MBPP, Mubarak Junus.

Mengulas lanjut, Jagdeep memberitahu bahawa operasi pembersihan sistem saliran dan peparitan adalah merangkumi pembersihan parit-parit sekunder sebanyak tiga kali seminggu, pembersihan parit di kawasan perumahan (setiap hari), kawasan hotspot denggi dan komersial (setiap Khamis) serta pembersihan parit pasar atau kompleks makanan termasuk kaki lima.

“Operasi pembersihan parit besar pula melibatkan 26 jajaran jalan turut dilakukan secara berjadual iaitu tiga bulan sekali,” katanya.

Sebagai rekod, Jagdeep memaklumkan, bagi tahun 2020, sebanyak tujuh projek penarafan telah dirancang dengan anggaran kos sebanyak RM6.705 juta.

Dalam sidang media sama, Jagdeep turut memaklumkan purata beratan sisa dan kelodak parit yang dibersih serta dilupuskan bagi tahun 2019 oleh MBPP adalah berjumlah 10,076 tan dengan purata 27 tan sehari.

Difahamkan bagi tahun 2018, beratan dibersihkan adalah berjumlah 14,437 tan bersamaan 39.5 tan sehari.

“Ini menunjukkan bahawa kesedaran dalam kalangan masyarakat semakin meningkat terutama pemilik-pemilik premis (dalam memastikan sistem saliran dan peparitan sentiasa bersih) dan saya berharap ia dapat ditambah baik lagi,” jelasnya.

Dari segi kompaun, Jagdeep memberitahu, pada tahun 2019 sebanyak 442 kompaun yang mana 93 peratus daripadanya dalah kesalahan menyalurkan sisa minyak atau sampah ke dalam parit awam.

Manakala tujuh peratus lagi adalah bagi kesalahan kebersihan pengendali makanan.

Sejak November 2019, melalui Operasi Penutupan Establisymen Makanan sebanyak 18 buah premis makanan atau penyediaan makanan ditutup dan sejumlah 276 kompaun dikeluarkan dalam operasi mencegah denggi.

Pada kesempatan itu, Jagdeep turut merakamkan penghargaan kepada 1,300 wira-wira pembersihan di bahagian pulau yang turun padang setiap hari melaksanakan kerja-kerja pembersihan.

Sementara itu, Tung Seang ketika ditemui meminta kepada pemilik-pemilik premis dan orang ramai untuk sama-sama menjaga kebersihan premis, longkang dan kawasan persekitaran.

“Sememangnya kami (MBPP) tidak pernah berpuas hati dengan anugerah-anugerah kebersihan yang kami terima, kami masih menerima aduan dari rakyat dengan hati terbuka dan positif.

“Namun, kami juga ingin menyeru kepada orang awam dan pemilik premis (makanan) agar bekerjasama dengan kami dari masa ke masa terutama dalam kes yang membabitkan sisa minyak kerana banyak menyebabkan perparitan di sini terbeban,” serunya.

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI