RM200,000 Geran Mutiara Madani bagi bantu gerakan koperasi Pulau Pinang, umum Exco

Admin
4ff95dcb cee8 46f2 9ac9 1221f9df37c5

GEORGE TOWN – Sejumlah RM200,000 ‘Geran Mutiara Madani’ akan disalurkan menerusi Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Pulau Pinang bagi membantu gerakan koperasi negeri.

Exco Agroteknologi & Keterjaminan Makanan dan Pembangunan Koperasi, Fahmi Zainol berkata Kerajaan Negeri hari ini dalam tempoh tahun 2021 hingga 2023 telah menyalurkan sejumlah RM1.2 juta kepada 122 koperasi yang layak.

“Melalui gerakan koperasi ini, kita (Kerajaan Negeri) harap mampu menjadi salah satu platform untuk menyejahterakan rakyat ke arah pencapaian sebuah negeri berdaya maju selaras dengan Visi Penang2030,” jelasnya dalam sidang media berkaitan di Komtar pada 17 Oktober 2024.

Kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Jerejak itu lagi, koperasi negeri yang mempunyai perancangan ekonomi berdaya maju layak memohon ‘Geran Mutiara Madani’ maksimum RM5,000 bagi satu-satu projek, untuk dipertimbang oleh Jawatankuasa Induk yang terdiri daripada Pejabat Exco, Bahagian Perancangan Ekonomi Negeri (BPEN) dan SKM negeri.

Dalam perkembangan berkaitan, Fahmi berkata pejabatnya dengan kerjasama SKM Cawangan Pulau Pinang dan Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang akan menganjurkan tiga siri seminar ‘Young Coop Business Camp’ pada 27 dan 28 Oktober ini serta 23 November ini.

“Ini, program khusus bagi membantu gerakan koperasi pada peringkat sekolah… serta memberi fokus kepada golongan belia khususnya pelajar sekolah,” jelasnya lagi.

Dalam perkembangan lain, beliau turut mengumumkan perancangan pejabatnya untuk melaksanakan Program Jelajah Tani 2024 di Teluk Air Tawar, Daerah Seberang Perai Utara pada 27 Oktober 2024; Pulau Betong, Daerah Barat Daya (10 November 2024); dan Permatang Pauh, Daerah Seberang Perai Tengah (30 November 2024).

“Program ini adalah suatu platform untuk Kerajaan Negeri Pulau Pinang khususnya Pejabat Exco, Jabatan dan Agensi (berkaitan) bertemu dengan penternak, petani dan nelayan bagi memantau perkembangan dan memberi pandangan secara langsung mengenai projek-projek agro sepanjang tahun,” ujarnya lagi sambil menyasarkan pengunjung antara 800 hingga 1,000 orang di tiap-tiap daerah penganjuran.

Menurutnya lagi, jualan murah barangan runcit; pameran dan kaunter penerangan jabatan, agensi dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT); jualan produk agromakanan pengusaha tempatan; serahan bantuan untuk penternak, petani dan nelayan; serta acara sukaneka dan sukan rakyat merupakan antara program menarik dalam tiga siri Jelajah Tani 2024 peringkat daerah nanti.

Menjawab soalan pemberita selepas itu, beliau memberitahu bahawa setakat ini Pulau Pinang tidak menghadapi isu gangguan bekalan makanan asasi rakyat.

Pun begitu, beliau berharap jabatan serta agensi berkaitan supaya terus memantau persiapan kelompok petani, penternak dan nelayan bagi menghadapi sepanjang musim Monsun Timur Laut yang dijangka bermula pada hujung bulan ini.

“Bagi makanan pertanian (padi), kita dah tuai; bekalan beras adalah mencukupi.

“Untuk tahun ini, (musim Monsun Timur Laut) tak panjang iaitu pada 18, 19, 20 dan 21 (Oktober 2024) yang akan melanda (Pulau Pinang).

“Setiap jabatan pun dah membuat persiapan dan pemakluman (supaya semua petani, penternak dan nelayan) siap siaga…setakat ini tidak terganggu bekalan makanan,” katanya lagi.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD