RM30 juta untuk laluan basikal

Oleh: AINUL WARDAH SOHILLI

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri menyimpan hasrat untuk membina laluan berbasikal sistematik dan selamat menjelang tahun 2020 dengan mengutilisikan sepenuhnya tanah rizab negeri dan tanah rizab persisir pantai bagi tujuan berkenaan.

Terbaru, Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) berhasrat untuk melengkapkan Fasa 1 laluan basikal persisiran pantai (Coastal Cycling Route) dari Batu Maung ke Teluk Bahang sejauh 38 kilometer (km).

Manakala, Fasa 2 adalah membabitkan laluan basikal dari Kompleks Membeli-belah Queensbay ke pusat bandar George Town sejauh 12.5 km yang bakal dibina dan dinaiktaraf MPPP serta lima pemaju iaitu IJM Land Berhad, Tropicana Ivory Sdn. Bhd., GSD Lamd (M) Sdn. Bhd., CP Landmark Sdn. Bhd. dan Asia Green Group sebagai sebahagian pelaksanaan projek tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat masingmasing.

Yang diPertua MPPP, Datuk Ar. Patahiyah Ismail berkata, kos keseluruhan projek berkenaan adalah berjumlah RM30 juta dan ia mengambil masa dua tahun untuk siap sepenuhnya.

“Sebagai permulaan, langkah pertama ke arah penyediaan laluan basikal, MPPP telah menggariskan beberapa polisi dan membentuk satu pelan pembangunan laluan berbasikal iaitu Pelan Induk Laluan Basikal.

“Dalam pelan tersebut, kita (MPPP) rancang untuk membina 200 km laluan basikal di bahagian pulau, sama ada secara berasingan atau berkongsi laluan dengan kenderaan bermotor lain,” ujarnya ketika sidang media di sini baru-baru ini.

Turut hadir, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Jerejak, Sim Tze Tzin dan Pengarah Bangunan MPPP, Ar. Yew Tung Seang.

Pulau Pinang kini mempunyai 120 kilometer laluan berbasikal dibahagian pulau.

Tung Seang berkata, laluan berbasikal khas ini juga merupakan alternatif untuk mengurangkan kesesakan lalulintas dan memberi suatu pengalaman baru kepada warga Pulau Pinang yang ingin berbasikal sambil menikmati suasana dan permandangan persisiran pantai,’’ jelas beliau.