RM32.28 juta untuk selenggara, naik taraf melalui TPM80PP sejak 2013

DATUK KERAMAT – Sejumlah RM32,282,811.08 diperuntukkan oleh Kerajaan Negeri melalui Tabung Penyelenggaraan Maksimum 80 Peratus Pulau Pinang (TPM80PP) sehingga kini, bagi melaksanakan 374 projek penyelenggaraan serta naik taraf perumahan di negeri ini.

 

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo  berkata, peruntukan itu melibatkan 221 permohonan sejak tabung tersebut mula diperkenalkan pada tahun 2013.

 

Menurutnya, Kerajaaan Negeri akan sentiasa berusaha dan memberi fokus terhadap penyediaan rumah mampu milik untuk rakyat Pulau Pinang.

 

“Kita (Kerajaan Negeri) menyasarkan sebanyak 180,000 unit rumah mampu milik pelbagai kos akan tersedia untuk rakyat menjelang tahun 2030 nanti.

 

“(Dan) kita amat menghargai usaha pihak pemaju swasta yang turut membantu Kerajaan Negeri merealisasikan hasrat tersebut (menyediakan perumahan untuk rakyat),” katanya yang berharap jalinan usahasama ini dapat diteruskan pada masa hadapan.

 

Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan ke Seruan Emas Apartment dekat Solok Rawana di sini pagi ini.

 

Hadir sama, Ketua Penolong Setiausaha (Seksyen Dasar & Pembangunan) Bahagian Perumahan, Fakhurrazi Ibnu Omar; Penolong Setiausaha Kanan (Seksyen Pengurusan Perumahan) Bahagian Perumahan, Mohd. Fauzy Mohd. Yusoff serta wakil daripada Persatuan Pendudukan Seruan Emas Apartment dan penduduk setempat.

 

Mengulas lanjut, Jagdeep yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat berkata, Kerajaan Negeri menyediakan pelbagai insentif  dan polisi kepada pemaju perumahan bagi memenuhi permintaan terhadap rumah mampu milik di negeri ini.

 

“Malah, kita (Kerajaan Negeri) akan memperkenalkan insentif baharu tahun hadapan kepada pemaju yang ingin membina rumah mampu milik serta membantu Kerajaan Negeri merealisasikan permintaan rakyat,” tambahnya yang akan mengumumkan perincian berhubung insentif baharu itu kelak.

 

Dalam perkembangan sama, Jagdeep memaklumkan bahawa pihaknya telah membuat permohonan peruntukan sebanyak RM100 juta kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bagi projek penyelenggaraan perumahan di negeri ini.

 

“Bukan sahaja soal penyediaan rumah mampu milik, malah isu berkaitan penyelenggaraan dan naik taraf skim perumahan sedia ada turut menjadi tumpuan Kerajaan Negeri.

 

JAGDEEP Singh Deo (tengah) ketika mengumumkan mengenai mesyuarat penyelarasan yang bakal diadakan di Putrajaya, Isnin ini.

“(Rentetan itu), sebanyak RM28.7 juta dimohon melalui skim Projek Penyelenggaraan Perumahan (PPP) manakala bakinya, kira-kira RM72.1 juta melalui Tabung Penyelenggaraan Perumahan (TPPM) untuk negeri Pulau Pinang.

 

“(Dan) berita gembira diterima apabila KPKT akan mengadakan Mesyuarat Penyelarasan Bagi TPPM dan PPP pada 9 Disember ini di Putrajaya.

 

“Saya berharap, kita (Pulau Pinang) akan menerima ‘hadiah istimewa’ menjelang tahun baru 2020 nanti,” ujarnya sambil mengharapkan komitmen daripada Kerajaan Persekutuan berhubung isu penyelenggaraan perumahan.

 

Terdahulu, Jagdeep mengumumkan peruntukan bagi membaiki tangki air di Seruan Emas Apartment menggunakan peruntukan TPM80PP.

 

“Kos keseluruhan adalah RM56,800 dan melalui TPM80PP, kita (Kerajaan Negeri) akan membiayai 80 peratus daripadanya (RM45,440) manakala baki akan ditanggung oleh pihak pengurusan dan Persatuan Penduduk Seruan Emas Apartment,” jelasnya.

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD