GEORGE TOWN – Sebanyak RM35 juta disalurkan oleh Kerajaan Persekutuan bagi membangunkan Taman Perindustrian Batu Kawan 3 (BKIP 3).
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa peruntukan yang diluluskan di bawah Kementerian Ekonomi tersebut adalah bagi tujuan pembangunan beberapa projek infrastruktur di Fasa 1A BKIP 3.
“Sehingga kini, maklumat yang diperoleh oleh Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC), peruntukan ini adalah di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12).
“Skop projek adalah merangkumi kerja pembinaan jalan, perparitan, perabot jalan, pemasangan air retikulasi, paip pembetungan, pembinaan jambatan serta pemasangan lampu jalan dan Telekom.
“Tempoh pelaksanaan projek-projek berkaitan adalah selama 16 bulan,” katanya ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tambun, Goh Choon Aik dalam Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang ke-15 di sini sebentar tadi.
Kon Yeow menyatakan bahawa peruntukan tersebut adalah tidak termasuk projek menaik taraf persimpangan jalan berhampiran Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Keng Koon dan tol arah utara.
“Namun begitu, Jabatan Kerja Raya (JKR) Pulau Pinang juga telah mengemukakan cadangan bagi projek menaik taraf Jalan Bukit Tambun dan Jalan Kawasan Perindustrian Bukit Minyak dalam RMK-12 di bawah program Kementerian Kerja Raya (KKR).
“Projek ini akan diangkat semula di bawah Rancangan Malaysia ke-13 (RMK-13) untuk kelulusan.
“Selain itu, JKR Pulau Pinang sedang memperincikan kos projek menaik taraf Jejambat Jalan Perusahaan Valdor dan dalam proses mengemas kini permohonan RMK-13,” katanya yang juga ADUN Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan.
Pada 16 Februari lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merasmikan majlis pecah tanah BKIP3, sempena tahun ke-10 pembangunan taman perindustrian oleh Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) dekat Bukit Tambun.
Dengan seluas 407 ekar, BKIP3 dijangka disempurnakan pada Ogos 2031, yang merangkumi pembangunan empat fasa dengan Fasa 1A seluas ekar dijangka siap pada 2025.
Menjawab soalan tambahan daripada Choon Aik mengenai projek menaik taraf jalan di Bukit Tambun (F149) bagi mengurangkan kesesakan trafik, Kon Yeow memberitahu bahawa usaha ke arah itu sedang berjalan.
“Saya boleh kongsikan terdapat beberapa projek tempatan yang mungkin berjalan serentak dengan projek Lebuh Raya Bertingkat Juru – Sungai Dua, namun akan melibatkan kos yang tinggi.
“Objektif pelaksanaan projek ini adalah untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas di kawasan perindustrian di Bukit Tambun dan juga Seberang Perai.
“Walau bagaimanapun, saya sudah arahkan Exco Infrastruktur dan Pengangkutan (Zairil Khir Johari) untuk meneliti perkara ini dan berurusan dengan kementerian berkaitan suoaya meletakkan projek ini sebagai satu keutamaan,” katanya.
Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR & NOOR SITI NABILAH NOORAZIS