RM38.31 juta untuk tingkatkan mutu kemudahan awam, untungkan golongan penjaja – YDP MPSP

SEBERANG JAYA – Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) percaya RM38.31 juta peruntukan bagi tahun 2019 untuk menambah baik kualiti kemudahan infrastruktur awam di seluruh Seberang Perai, akan meningkatkan lagi taraf hidup rakyat terutama kaum penjaja.

Yang di-Pertuanya Dato’ Sr. Rozali Mohamud memberitahu peruntukan itu meliputi kerja-kerja penarafan serta penyelenggaraan semua premis MPSP iaitu 31 pasar awam, 66 kompleks makanan dan 14 unit kiosk di seluruh Seberang Perai, dengan ruang niaga berjumlah 5,485 unit.

“(Bajet Tahun 2019 MPSP) ini akan memberi peluang kepada penjaja berniaga di premis yang teratur, selesa dan bersih serta dapat meningkatkan imej penjaja-penjaja berkenaan.

“Bagi menggalakkan pembangunan penjaja, pengusaha dan peniaga kecil di Seberang Perai, sejumlah RM1.5 juta diperuntukan untuk penyelenggaran pasar-pasar awam dan kemudahan kompleks makanan,” jelas Rozali ketika membentangkan Bajet Tahun 2019 MPSP di Kompleks Ibu Pejabat MPSP dekat Bandar Perda di sini pagi ini.

Jelasnya, dalam belanjawan tahunan ini juga turut memperuntukan RM3 juta untuk bayaran bil elektrik, bil air (RM1.1 juta) dan bil pembentungan Indah Water Konsortium (IWK) (RM0.2 juta).

“Oleh itu semua peniaga diminta untuk membantu MPSP agar pembaziran penggunaan air dan elektrik dapat dielakkan.

“Segala perbelanjaan MPSP ini adalah bentuk pulangan MPSP kepada semua pihak berkepentingan terutama penjaja, pengusaha dan peniaga kecil yang terus bertanggungjawab membayar cukai-cukai kepada MPSP,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Rozali memberitahu seperti tahun-tahun terdahulu menyaksikan 71 peratus atau kira-kira RM191.54 juta daripada kutip cukai taksiran merupakan penyumbang utama pada pendapatan keseluruhan MPSP.

“Bagaimanapun, kutipan hasil cukai ini hanya berjaya dicapai sekiranya 100 peratus pembayar cukai menjelaskannya,” jelasnya.

Teks & Gambar : ZAINULFAQAR YAACOB