SEBERANG JAYA – Pensijilan halal yang ada di Malaysia adalah satu kekuatan bagi memperkukuh perdagangan peringkat antarabangsa, yang mana industri berkaitan halal sejagat ketika ini bernilai kira-kira 1 trilion Dolar Amerika Syarikat (USD) atau RM4.5 trilion.
Sehubungan itu, Perdana Menteri, Y.A.B. Dato’ Seri Utama Anwar Ibrahim berkata, semua pemegang taruh di negara ini dapat melihat potensi industri halal global dalam konteks yang lebih luas iaitu tidak terhad pada hal penyembelihan binatang ternakan, produk perubatan, kosmetik dan sebagainya.
Anwar yang juga Menteri Kewangan merangkap Ahli Parlimen Tambun, Perak, berkata demikian semasa merasmikan edisi ke-13 Ekspo Halal Antarabangsa Pulau Pinang (PIHEX) 2024 di tapak parkir Gravitas Seberang Perai Tengah di sini pada 7 Disember 2024.
“Kita (Malaysia termasuk negeri Pulau Pinang) seharusnya memandang serius bagaimana kita boleh mengangkat keupayaan untuk menjadi pusat kegiatan industri halal termasuk kewangan Islam secara menyeluruh mengikut matlamat maqasid syariah.
“Fokus halal sebenar dalam semua bidang halal termasuk kebersihan perniagaan halal dan keterjaminan, ada produk halal tapi tahap kebersihannya dipertikai, ada juga (produk) yang mempunyai kesan-kesan sampingan kimia dan pencemaran.
“(Pengiktirafan) halal itu menjadi tarikan kepada negara-negara termasuklah negara bukan Islam dan dianggap penting kerana ia melibatkan pengertian kesihatan secara menyeluruh, ini yang harus diteroka,” jelasnya.
Mengulas lanjut, Anwar berkata banyak negara Islam termasuklah bukan Islam menyatakan keinginan untuk menjalinkan kerjasama membangunkan industri halal susulan kekuatan pengiktirafan sijil halal Malaysia yang diiktiraf di seluruh dunia.
“Banyak negara antaranya Qatar, China, Vietnam dan Laos minta kerjasama kita kerana Malaysia mempunyai kekuatan dan pengiktirafan terutamanya dari pensijilan halal,” katanya lagi.
Sebelum itu, Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid turut berucap mewakili Ketua Menteri, Y.A.B Tuan Chow Kon Yeow.
Mohamad yang juga Exco Pembangunan Agama Islam, Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Perpaduan Masyarakat berkata penganjuran ekspo pada kali ini akan memberi tumpuan berkaitan model ‘B2C’ atau model ‘Business to Consumer’ yang mana para pengunjung berpeluang membeli produk-produk halal yang berkualiti secara terus dengan para usahawan di ekspo ini.
Menerusi agensi kerajaan negeri iaitu Penang Halal International (PHI), Mohamad memberitahu bahawa prestasi pensijilan halal dan industri halal di megeri ini kian melonjak dan berkembang baik.
Beliau yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang menjelaskan bahawa statistik pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) saban tahun meningkat di negeri ini.
“Pada tahun 2008 terdapat 56 buah syarikat sahaja yang memiliki pensijilan halal namun meningkat sebanyak 1,805 syarikat setakat Oktober 2024.
“Sejak awal Januari hingga Oktober 2024, data pemegang SPHM di Negeri Pulau Pinang adalah sebanyak 61.3 peratus dimiliki oleh syarikat bukan Muslim (bukan bumiputera dan milikan asing) manakala baki 38.7 peratus (697 orang) lagi dimiliki oleh syarikat Muslim (bumiputera).
“Peratusan pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) bagi Syarikat Muslim (Bumiputera) telah menunjukkan peningkatan yang ketara hasil usaha-usaha giat yang dijalankan oleh PHI apabila pada awal tahun ini syarikat Muslim (Bumiputera) hanya terdiri daripada 11.3% (216),” ulasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung.
Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Zulkifli Long antara pimpinan negeri yang hadir dalam majlis perasmian ekspo tersebut, yang berlangsung sejak 5 Disember 2024 sehingga esok.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB