RM400 juta dibelanjakan bagi mengurangkan risiko banjir negeri, respons Ketua Menteri

231c633f 6a36 469d bb86 05accf24b598 KETUA Menteri

BAYAN LEPAS – Kerajaan Negeri sejak 10 tahun lepas telah membelanjakan kira-kira RM400 juta khusus untuk projek mitigasi banjir di Pulau Pinang, kata Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow.

“Sejak tahun 2010, kita telah berbelanja RM300 juta hingga RM400 juta dana Kerajaan Negeri untuk projek mitigasi banjir, dalam memulihkan keadaan (risiko banjir yang terjadi).

“Ketika ini, projek mitigasi banjir sedang dilaksanakan (yang mana) tiap-tiap reka bentuk kejuruteraan memang ada kapasitinya dan apabila melimpahi kapasiti itu, maka terjadi banjir kilat.

“Projek mitigasi banjir maksudnya projek mengurangkan risiko banjir,” jelasnya dalam sidang media di lobi Hotel AC by Marriot Penang, Bayan Lepas di sini pada 19 September 2024.

Walau bagaimanapun Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi berkenaan menjelaskan bahawa di bawah kerajaan, memang tidak ada tarif pemberian bantuan ataupun pampasan kepada mereka yang terjejas dek bencana banjir.

“Dalam skim bantuan, banjir tidak dikategorikan sebagai bantuan yang kita (Kerajaan Negeri) bagi bantuan, sebab susah untuk menentukan (bentuk bantuan sebagaimana yang dilakukan peringkat Kerajaan Persekutuan dan agensinya sebelum ini).

“Cuma, orang yang perlu pindah ke Pusat Pemindahan (Sementara), akan dibekalkan makanan, minuman dan peralatan,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan.

Menjawab soalan pemberita, Kon Yeow berkata bahawa pentadbirannya tidak boleh menggunakan dana awam sewenang-wenangnya untuk tujuan pemberian bantuan dan pampasan, apatah lagi melibatkan hartanah persendirian yang terjejas dek banjir baru-baru ini.

Sebelum itu, Kon Yeow menyampaikan sejumlah RM553,200 di bawah Skim Insentif Kecemerlangan Sukan (SKIMAS) Kerajaan Negeri Pulau Pinang kepada penyumbang penyumbang 41 pingat emas, 45 perak dan 53 gangsa sempena Temasya Sukan Malaysia XXI Sarawak 2024 (SUKMA Sarawak).

Exco Belia, Sukan dan Kesihatan, Daniel Gooi Zi Sen yang juga ‘Chef De Mission’ Negeri Pulau Pinang; Pengarah Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSNPP), Harry Chai Heng Hua; dan Timbalan Pengerusi II MSNPP, M. V. Jayanandhan turut sertai majlis penyampaian insentif tunai dan penghargaan kepada para atlet, jurulatih dan persatuan yang layak di sini pada malam ini.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI
Video : SIEW CHIA EN