RM40,000 buka Little Penang dua kali sebulan – KM

Oleh: WATAWA N ATA F ZULKIFLI
GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri memperuntukan RM 40,000 untuk mengembangkan fungsi Pasar Kraf Tangan Little Penang di sini dengan cadangan pembukaan dua kali dalam sebulan berbanding sebelum ini, iaitu pada hari Ahad setiap hujung bulan sahaja.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata demikian semasa merasmikan Majlis Sambutan Ulang Tahun Ketujuh Little Penang Street Market di sini baru-baru ini.

“Saya suka menyatakan supaya pasar ini diadakan sebanyak dua kali sebulan supaya lebih dapat menarik para pelancong dari dalam dan luar negara,” ujar beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan.

Berkata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih itu lagi, jawatankuasa penganjur pasar pelancongan itu boleh datang berbincang dengan Penang Global Tourism (PGT) sekiranya berhasrat untuk menambah bilangan hari jualan di pasar berkenaan.

“Walaupun banyak tempat-tempat komersial baru yang lahir di Pulau Pinang seperti New World Park, Gurney Plaza, Queensbay Mall, Straits Quay dan lain-lain, namun, Little Penang masih menjadi pusat kepada pengiat dan peminat seni,” ujar beliau lagi.

Difahamkan, Street Market mula ditubuhkan oleh Majlis Seni Pulau Pinang sejak tahun 1954 lagi.

Penubuhan pasar itu turut disokong oleh Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) dari segi menentukan lokasi strategik dan sebagainya.

Pasar kraf tangan pula mula dibuka di Street Market pada hari Ahad setiap hujung bulan bermula sejak tahun 2006.

Sejak itu, pasar tersebut dijadikan medan bagi para penggiat seni kraf tangan, tradisional, kontemporari serta pelbagai cabang seni lain

di sini untuk mempamerkan hasilan masing-masing.