RM45.24 juta peruntukan TPM80PP untuk selenggara, naik taraf sejak 2013

Admin

GEORGE TOWN – Sejumlah RM45.24 juta telah diperuntukkan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang melalui Tabung Penyelenggaraan Maksimum 80 Peratus Pulau Pinang (TPM80PP) bagi melaksanakan pelbagai projek penyelenggaraan serta naik taraf skim-skim perumahan swasta di negeri ini sejak 2013.

 

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo berkata, meskipun dunia kini berdepan dengan pandemik COVID-19, Kerajaan Negeri akan memastikan sektor hartanah terus ‘hidup’.

JAGDEEP Singh Deo.

 

Kerajaan Negeri akan sentiasa berusaha dan memastikan bukan sahaja pembekalan rumah mampu untuk rakyat Pulau Pinang diteruskan tetapi juga memastikan sektor hartanah terus ‘bergerak’ dan ‘hidup’.

 

“(Dan) ini termasuk soal penyelenggaraan di skim-skim perumahan mampu milik di negeri ini dengan keutamaan terhadap skim perumahan kos rendah,” ujarnya dalam sidang media melalui Facebook Live sejurus menghadiri mesyuarat TPM80PP di pejabat Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang (LPNPP) dekat Komtar pagi ini.

 

Mengulas mengenai keputusan mesyuarat pagi ini, Jagdeep berkata, sejumlah 15 projek penyelenggaraan dan naik taraf diluluskan.

 

“Setakat hari ini, sejumlah 283 permohonan diluluskan merangkumi 479 projek telah dilaksanakan.

 

“Secara purata, kebanyakan projek penyelenggaraan dan menaik taraf ini merangkumi kerja-kerja penggantian lif, bumbung, sistem saliran dan perpaipan, pengecatan semula, penggantian tangki air, penurapan jalan serta baik pulih kerosakan am,” jelasnya.

 

Dalam sidang media sama, Jagdeep turut mengumumkan jumlah penyaluran dana penyelenggaraan dan naik taraf bagi semua skim perumahan swasta dan awam yang layak di negeri ini.

 

Sukacita saya maklumkan bahawa Kerajaan Negeri telah menyalurkan dana berjumlah RM276.46 juta bagi kerja-kerja penyelenggaraan dan menaik taraf di semua skim perumahan swasta dan awam yang layak sehingga 16 Jun 2021.

 

“(Dan) saya percaya melalui penyaluran dana ini ia mampu menjana ekonomi Pulau Pinang semasa (tempoh) pandemik ini kerana melibatkan pelbagai rantaian dan pihak berkaitan dalam sektor perumahan dan hartanah di negeri ini,” katanya sambil menzahirkan komitmen Kerajaan Negeri untuk terus membantu meringan beban yang dihadapi rakyat kini.

 

Berikut adalah pecahan saluran peruntukan bagi projek penyelenggaraan yang layak di negeri ini; projek penyelenggaraan melibatkan skim perumahan awam berjumlah RM202.9 juta; perumahan di bawah Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) RM24.01 juta; Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) RM4.26 juta dan TPM80PP RM45.24 juta.

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD