Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB
GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang memperuntukan RM500 juta dana pusingan bagi membina rumah mampu milik di sini, kata Ketua Menterinya, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng.
Beliau membuat pengumuman itu pada Majlis Tandatangan Surat Perjanjian Pembelian dan Pembangunan Tanah Bayan Baru antara Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) dan pemaju Ivory Properties Group Berhad (IPGB).
“Pengalaman PDC, diyakini bahawa projek yang bakal dilaksanakan melalui penjualan tanah secara tender terbuka ini akan memberi hasil kepada Kerajaan Negeri sejumlah RM1.07 bilion.
“Melalui tender terbuka ini, kamu (pemaju) menang (mendapat manfaat), Kerajaan Negeri (Pulau Pinang) menang (mendapat manfaat) dan yang lebih penting rakyat paling menang (lebih mendapat manfaat).
“Hasil penjualan tanah ini, sejumlah RM500 juta akan diketepikan (diperuntukan) khusus bagi tujuan dana pusingan pembinaan rumah mampu milik di pulau dan Seberang Perai,” ujar beliau di Bangunan PDC, di sini.
Turut berucap, Pengerusi dan Ketua Pengurus Eksekutif IPGB, Loh Kim Hock.
Majlis tandatangan dilakukan oleh Timbalan Pengarah (Makro) Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), Hafidzah Hassan mewakili Kerajaan Negeri, manakala, pemaju diwakili oleh Kim Hock.
Guan Eng dan Timbalan Pengerusi dan Pengarah Eksekutif IPGB, Datuk Seri Nazir Ariff sebagai saksi pada majlis tandatangan tersebut.
Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamay, Datuk Abdul Halim Hussain (Speaker DUN Pulau Pinang), Datuk Farizan Darus (Setiausaha Kerajaan Negeri), Datuk Mokhtar Mohd. Jait (Pegawai Kewangan Kerajaan Negeri), Datuk Lee Kah Choon (Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif Invest Penang), Ar. Patahiyah Ismail (Yang DiPertua Majlis Perbandaran Pulau Pinang) dan Datuk Abdul Rahim Isahak (Timbalan Pengurus Besar PDC) antara yang hadir pada majlis bersejarah itu.
Projek yang mengangkat tema “Pulau Pinang, Bandar Antarabangsa” dan “Untuk Pulau Pinang, Dalam Pulau Pinang, Daripada Pulau Pinang” itu dibuka tender secara terbuka lebih empat bulan lepas, bermula 16 Ogos 2010 dan berakhir pada 31 Disember 2010.
Selepas proses permintaan untuk cadangan (RFP), sebanyak tiga syarikat pemaju disenarai pendek. Cadangan IPGB menawarkan harga RM240 sekali persegi dipilih serta pembayaran dalam tempoh lima tahun telahpun diterima. Projek pembangunan dilakukan bersama dengan pemaju Dijaya Corporation Berhad (DCB).
Projek pembangunan berkenaan membabitkan 102.56 ekar tanah meliputi 67.56 ekar tanah sedia di samping kos tebus guna 35 ekar lain ditanggung oleh pemaju.
Dengan dana pusingan RM500 juta itu, Guan Eng berkata, Kerajaan Negeri merancang untuk membangunkan 15,000 unit rumah mampu milik berharga antara RM72,000 hingga RM220,000 di tanah seluas 200 ekar atas nama Bandar Batu Kawan.