Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
GEORGE TOWN – Ketua Menteri Pulau Pinang, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng mengumumkan peruntukan sebanyak RM500 juta bagi membiayai projek membina rumah mampu milik di Seberang Perai dan Pulau Pinang sekaligus menunjukkan keprihatinan Kerajaan Negeri terhadap rakyat dan golongan yang berpendapatan rendah.
Guan Eng yang ditemui ketika merasmikan Majlis Sambutan Tahun Baru Cina Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) berkata, jumlah tersebut adalah yang paling besar pernah diperuntukkan di negara ini berbanding negeri-negeri lain.
“Kerajaan dahulu pernah bercadang membina dan memindahkan pentadbiran sekarang ke Bayan Mutiara yang akan melibatkan kos sebanyak RM600 juta.
Namun, kita (Pakatan Rakyat) menolak cadangan berkenaan dan mengambil tindakan yang lebih proaktif melalui penswastaan Bayan Mutiara secara tender terbuka, sekaligus, kita telah berjaya menambah sumber kewangan negeri yang membolehkan projek sosial seperti rumah mampu milik dapat dibina dengan peruntukan lebih besar,’’ katanya di sini baru-baru ini.
Terdahulu Guan Eng berkata, melalui peruntukan diumumkan tersebut juga dapat menghentikan spekulasi dan provokasi pihak yang cuba mengelirukan rakyat dengan menyatakan Kerajaan Negeri tidak pernah membina rumah mampu milik untuk rakyat.
“PDC akan menjadi agen pelaksana untuk Tabung Rumah Mampu Milik di Seberang Perai dan Pulau Pinang. Kita akan sediakan rumah mampu milik yang bukan sahaja selesa, berkualiti, malah, turut menerapkan konsep
kejiranan hijau dengan kemudahan seperti padang bola, surau, pasar dan clubhouse,’’ jelasnya lagi.
Dalam pada itu, pengumuman Ketua Menteri berkenaan telah memperoleh respon positif daripada rakyat setempat yang turut sama melahirkan rasa lega di atas peruntukkan tersebut.
Menurut pekerja sendiri, Tiena Ramly, 29, pengumuman tersebut dapat membantu golongan berpendapatan rendah dan tidak tetap sepertinya untuk memiliki rumah sendiri, sekaligus mengurangkan beban rakyat dengan kadar sewa rumah yang semakin mahal kini.
“Dengan terbinanya perumahan mampu milik lebih banyak di negeri ini, ia dapat membuka ruang dan peluang kembali kepada semua pemohon yang sebelum ini pernah memohon tetapi gagal untuk mendapatkan rumah di atas faktor kekangan rumah kos rendah di negeri ini yang terhad,” ujarnya yang sebelum ini pernah mengemukakan beberapa permohonan perumahan mampu milik.
Manakala bagi pekerja swasta, Raymin Yew Yung Shen, 26, berkata, pengumuman Ketua Menteri disambut baik terutamanya kepada beliau yang baru saja memulakan kerjaya beberapa tahun untuk memiliki rumah sendiri di masa depan.
“Rumah di Pulau Pinang semakin mahal sehingga menyebabkan sebahagian golongan yang baru berkerjaya tidak mampu untuk memiliki rumah sendiri dan membesarkan anak-anak dalam persekitaran yang lebih selesa dan selamat,” ujarnya kepada Buletin Mutiara di sini baru-baru ini.
Sehingga 2011, Kerajaan Negeri telah berjaya membina 11,596 rumah mampu milik di negeri ini.
Pada masa sama, sasaran 11,800 rumah mampu milik akan turut dibina pada Fasa Pertama di Bandar Cassia, Batu Kawan hasil perjanjian bersama PDC dan Surbana International Consultants (Malaysia) Sdn.Bhd. baru-baru ini.