Oleh: NORSHAHIDA YUSOFF
GEORGE TOWN – Dua balu kepada bekas kakitangan Perbadanan Bukit Bendera (PHC) terharu apabila menerima pampasan insurans bernilai RM50,000 daripada Pengurus Besar PHC, Maklen Ali di sini baru-baru ini.
Mereka adalah Saniah Abdul Rahman yang kehilangan suaminya, Allahyarham Rozali Mohd. Rejab, 36, yang merupakan Penjaga Jentera Elektrik Bertauliah (Chargeman) dan A. Ramayee (mendiang K. Krishnaminan, 53, pekerja am khas PHC).
Allahyarham dan mendiang meninggal dunia ekoran Acute Coronory Syndrome dan Pulmonary Edema.
Sumbangan tersebut adalah hasil pampasan daripada pelan insurans hayat yang diperkenalkan PHC sejak Jun tahun lalu kepada para kakitangan perbadanan.
Majlis Penyampaian Cek Sumbangan Pampasan Insurans Kematian yang berlangsung di Komtar di sini disempurnakan Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng selaku Pengerusi Lembaga Pengarah PHC.
Menurut Maklen, jumlah tersebut dibayar kepada setiap keluarga berkenaan.
“Kehilangan ‘mereka berdua’ amat dirasai bukan hanya dalam kalangan keluarga, malah, rakan-rakan sekerja dalam keluarga besar PHC.
“Sumbangan dan dedikasi mereka sepanjang tempoh perkhidmatan bersama PHC akan sentiasa dihargai dan menjadi kenangan,” katanya pada sidang media baru-baru ini di sini.