RM507.4 juta demi atasi banjir – Exco

Oleh: WATAWA NATAF ZULKIFLI

TELUK KUMBAR – Kerajaan Negeri memperuntukan lebih RM507.4 juta pada tahun ini bagi mengatasi masalah banjir berisiko tinggi, meliputi bahagian pulau dan Seberang Perai.

Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow berkata, keseluruhan jumlah dana tersebut diterima dari sembilan ‘sumber’ berlainan.

“Kita menerima dana seperti dari peruntukan persekutuan, caruman perparitan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), peruntukan negeri, Rancangan Tebatan Banjir (RTB) MPSP, Bajet MPPP dan permohonan peruntukan baru.

“Bagi caruman MPPP dan MPSP, wang itu adalah hasil daripada kutipan kerja-kerja projek dan kerja jururunding di mana mereka perlu membayar caruman ini bagi mengelakkan banjir di kawasan luar projek dan ini terbahagi kepada empat bahagian,” ujar beliau di sini baru-baru ini sambil mengadakan tinjauan fungsi rumah pam di Teluk Kumbar.

Menurut beliau, Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri pada 26 Ogos lalu turut meluluskan RM6.2 juta untuk tujuan sama.

“Daripada jumlah peruntukan besar ini juga, ianya akan dibahagikan kepada 50 projek RTB seluruh negeri dan jumlah diberikan berdasarkan nilai projek,” ujar beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota.

Sementara itu, Jurutera Awam Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Pulau Pinang, Abdul Rani Zainon berkata, pihaknya Berjaya mengeluarkan beberapa kawasan dari kategori lokasi banjir berisiko tinggi sejak empat hingga lima tahun lepas.

“Pada masa sama, masih terdapat tiga empat tempat masih mengalami banjir seperti Teluk Bahang, Teluk Kumbar dan sebahagian di Sungai Nibong Kecil.

“Pihak kami turut mengenal pasti antara punca utama banjir adalah sampah yang dialirkan oleh air ketika hujan ke dalam longkang dan rumah pam.

“Apabila rumah pam tersumbat, maka aliran tidak dapat disalirkan dengan baik lalu berlakulah banjir,” ujar beliau lagi.

Justeru, beliau berharap penduduk berwajib memberi kerjasama sewajarnya dengan menjaga kebersihan persekitaran demi mengelak bencana banjir kilat.

Sebelum itu, Kon Yeow berkata, skim perumahan pada 1970-an yang berada di kawasan rendah, saiz pembetungan, system longkang yang uzur dan tidak mampu menampung aliran banyak, sampah sarap, perubahan pada kawasan tadahan biasa, pelepasan air dari kawasan pembangunan, mendapan pada saliran, sungai yang sempit serta penerokaan bukit dan tanah yang berleluasa merupakan antara punca berlakunya banjir di kawasan-kawasan yang dikenalpasti.