GEORGE TOWN – Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) memperuntukkan kira-kira RM700,000 bagi pelaksanaan projek-projek jangka masa pendek dan jangka masa sederhana untuk mengatasi masalah banjir kilat di pusat bandar George Town dalam tempoh sembilan bulan sehingga Mac 2012.
Projek jangka pendek yang dijangka menelan belanja sebanyak RM36,000 membabitkan pembinaan semula parit bawah tanah di Lebuh Campbell, Lebuh Cintra, Lebuh Chulia, Jalan Pintal Tali, Lebuh Kimberley, Lorong Pitt, Jalan Kedah dan Jalan Transfer dijangka siap pada September 2011.
Manakala projek jangka masa sederhana bertujuan meningkatkan tahap kecekapan sistem saliran untuk tempat-tempat yang mengalami masalah banjir seperti mengalihkan sebahagian air permukaan jalan dari parit tepi adalah membabitkan Jalan Pintal Tali ke parit di Lebuh
Carnavon melalui Lebuh Kimberley; Jalan Kuala Kangsar ke Jalan Dr. Lim Chwee Leong dan dari Jalan Lim Eow Thoon ke kolam takungan kering untuk mengatasi masalah banjir di Taman Trafik akan bermula pada bulan September 2010 dan dijangka siap pada Mac 2012.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Lalulintas, Chow Kon Yeow berkata, pihak majlis memandang serius maklum balas awam berhubung kejadian banjir kilat di pusat bandar George Town dan adalah menjadi keperluan kepada pihak terbabit untuk mencari jalan penyelesaian pada kadar segera.
“Pelan dan peruntukan terdahulu yang dilaksanakan 15 tahun lalu telah selesai dan berjaya, namun, kita perlu membuat susulan lanjut dari semasa ke semasa ekoran pertambahan jumlah sampahsarap, gris dan minyak yang terperangkap di dalam longkang-longkang,’’ katanya pada
sidang akhbar di sini baru-baru ini.
Menurut Kon Yeow, pihak majlis akan melipat-gandakan tindakan penguatkuasaan terhadap para peniaga yang bertindak menuangkan sup
serta sisa-sisa masakan ke dalam longkang sehingga menyebabkan gris dan minyak makanan terperangkap.
“Cabaran utama kita adalah untuk mengubah sikap orang ramai terhadap kebersihan. Walaupun, program Penang Besih dan Hijau giat dijalankan, namun, setiap hari, pihak majlis masih perlu memungut sampahsarap dari Prangin Canal yang dapat dimuatkan di dalam dua
buah lori besar.
“Justeru, saya berharap semua pihak terlibat dalam usaha ini,” seru beliau.