Oleh: WATAWA NATAF ZULKIFLI
GEORGE TOWN – Tayangan video kesengsaraan rakyat Gaza sejak peperangan 1917 hingga kini yang dipaparkan bersempena Majlis Sumbangan Amal Tangisan Gaza anjuran Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang (SUKPP) menyentuh setiap mata menontonnya.
Melihat kesengsaraan mangsamangsa perang terutamanya kanak-kanak membuatkan setiap hadirin menitiskan air mata pada majlis yang turut memperoleh kerjasama Aman Palestin Cawangan Pulau Pinang di sini baru-baru ini.
Pada majlis tersebut, sumbangan sebanyak RM72,480 hasil pungutan SUKPP dan jabatan-jabatanbernaung di bawah SUKPP diserahkan secara simbolik kepada Pengerusi Ahli Majlis Aman Palestin Cawangan Pulau Pinang, Ustaz Shaharuzzaman Bistaman.
Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Farizan Darus berkata, apabila merenung, cuba selami sedalamnya penderitaan penduduk Gaza yang tidak pernah sudah.
“Peperangan menghantui hidup mereka. Bayangkan anak-anak di sana hingga ingin ke sekolah sanggup melalui celah-celah tembok pemisah setinggi lapan meter.
“Bandingkan pula kemewahan kita di negara Malaysia ini,” ucapnya pada majlis di sini.
Menurutnya, walaupun sumbangan tersebut dilihat kecil, tetapi amatlah besar dan bermakna bagi rakyat Gaza yang menjalani kehidupan yang derita.
Dalam pada itu, Shaharuzzaman turut tampil menyampaikan ceramah sambil membicarakan serba sedikit pengalaman beliau semasa melawat Gaza dan sempat bertemu Perdana Menteri Palestin, Ismael Haniyeh.