RM75.08 juta pastikan komitmen terbaik Kerajaan Negeri kepada pembangunan hal ehwal agama Islam

Admin

BAYAN LEPAS – Dalam mendepani cabaran sukar masa kini, komitmen Kerajaan Negeri masih kekal sama untuk memastikan prestasi perkhidmatan yang baik kepada seluruh rakyat Pulau Pinang.

 


Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow menyatakan bahawa komitmen tersebut termasuk dalam aspek pembangunan hal ehwal agama Islam.

 

 

“Untuk tahun ini, sebanyak RM75.08 juta telah diperuntukkan untuk memperkasakan pembangunan agama Islam.

 

 

“Selain itu, Kerajaan Negeri juga baru meluluskan peruntukan sebanyak RM22,000 masing-masing sumbangan berjumlah RM1,000 kepada 22 surau di Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Bayan Lepas.

 

 

“Semoga sedikit sumbangan ini dapat membantu pengurusan surau bagi tujuan mengimarahkan bulan Ramadan ini,” ujarnya pada Majlis Iftar Rakyat Gebyar Ramadan 1444/2023 bersama-sama Ketua Menteri di Masjid Al-Hidayah Bayan Lepas dekat sini sebentar tadi.

 

Hadir sama, Exco Perdagangan, Industri dan Pembangunan Usahawan, Dato’ Abdul Halim Hussain; Setiausaha Kerajaan Negeri; Dato’ Mohd. Sayuthi Bakar; Mufti Kerajaan Negeri, Dato’ Seri Wan Salim Wan Mohd. Noor; ADUN Bayan Lepas, Azrul Mahathir Aziz; ADUN Pulau Betong, Mohd Tuah Ismail dan Pegawai Daerah bagi Daerah Barat Daya, Mohd. Hafiz Aswad Nadzri.

 

 

Kon Yeow dalam reaksi mengenai usaha menaik taraf Masjid Al-Hidayah yang diutarakan oleh Azrul Mahathir memberitahu bahawa usaha tersebut sedang digerakkan oleh Pejabat Daerah dan Tanah Barat Daya dari segi pengambilan tanah dan lain-lain.

 

 

Azrul Mahathir dalam pada itu berharap Kerajaan Negeri dapat membantu kerja-kerja menaik taraf masjid berusia 150 tahun itu bagi menampung sekurang-kurangnya 3,500  jemaah pada satu-satu masa.

 

 

Turut berlangsung pada majlis tersebut adalah penyampaian sumbangan barangan keperluan harian kepada 50 asnaf sekitar kawasan Bayan Lepas.

 

 

Oleh : WATAWA NATF ZULKIFLI

Gambar : DARWINA MOHD. DAUD