BAYAN LEPAS – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa pentadbirannya berharap Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMKe-13) yang dirancang peringkat Persekutuan turut memberi tumpuan pada agenda memajukan ekonomi negeri melalui penubuhan Zon Kewangan Khas (SFZ) di Pulau Pinang.
Beliau yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi menyatakan hasrat itu kepada Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli semasa berucap dalam Sesi Libat Urus RMKe-13 Negeri Pulau Pinang di sini pada 11 Disember 2024.
“Dengan penubuhan SFZ, Pulau Pinang dijangka dapat menarik lebih banyak pelaburan asing, sekali gus meningkatkan daya saing ekonomi negeri ini,” jelasnya yang juga Ahli Parlimen Batu Kawan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota.
Berdasarkan permohonan projek baharu di bawah Rolling Plan Kelima (RP5) Tahun 2025, Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12), Kon Yeow memberitahu bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah menerima permohonan daripada 19 jabatan dan agensi yang telah mengemukakan sebanyak 93 projek dengan anggaran kos keseluruhan berjumlah RM17.7 bilion.
Menurut beliau, peruntukan yang diperlukan bagi tahun 2025 di negeri ini pula adalah sebanyak RM2.8 bilion bagi kesemua projek baharu yang dimohon.
Mengulas lanjut, beliau merakamkan penghargaan kepada Kementerian Ekonomi kerana telah meluluskan enam daripada 93 projek yang telah dimohon dengan anggaran kos keseluruhan berjumlah RM199.1 juta, dan peruntukan yang diperlukan bagi tahun 2025 adalah sebanyak RM1.9 juta.
“Kerajaan Negeri lazimnya komited dalam memastikan pelaksanaan projek-projek ini berjalan lancar agar manfaatnya dapat dinikmati oleh rakyat dalam tempoh masa ditetapkan,” jelasnya yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) negeri Pulau Pinang.
Berucap selepas itu, Rafizi berkata bahawa sebolehnya dalam proses merangka RMKe-13,’ia perlu melibatkan semua pemegang taruh dalam kalangan sektor awam, sektor swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan paling penting adalah rakyat di seluruh negara termasuk di negeri Pulau Pinang.
“(Justeru,) Kementerian Ekonomi memohon supaya Kerajaan Negeri (termasuk Pulau Pinang) menghantar juga perancangan jangka panjang (peringkat negeri) kepada Kementerian Ekonomi supaya kita dapat selaraskan antara pembangunan Rancangan Malaysia ‘dalam lima tahun’ dengan aspirasi serta perancangan (jangka panjang) peringkat Kerajaan-Kerajaan Negeri,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Pandan, Selangor.
Dalam perkembangan berkaitan, Rafizi turut memuji pencapaian semasa negeri Pulau Pinang dari segi ekonomi dan pelaburan.
“Berbanding negeri-negeri lain, sudah pasti Pulau Pinang berada di depan terutama dari segi ekonomi (seperti) banyak pelaburan berkaitan infrastruktur telahpun diluluskan.
“Infrastruktur-infrastruktur berskala negara sedang dijalankan (seperti) projek pembesaran Lapangan Terbang (Antarabangsa Pulau Pinang, LTAPP), pelaburan RM4 bilion untuk memperbaiki infrastruktur air dari Perak utara sampai ke Pulau Pinang… cadangan dan perincian (projek menangani kesesakan trafik di lebuh raya (dari Tol Juru ke Tol Sungai Dua).
“Jadi, semua (projek pelaburan) ini membolehkan infrastruktur di Pulau Pinang diperkukuhkan,” ulasnya lanjut.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : SIEW CHIA EN
Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS