GEORGE TOWN – Projek pembekalan rumah mampu milik (RMM) di Pulau Pinang adalah paling laris terjual, kata Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo.
Beliau berkata demikian sebagai respons terhadap laporan dikeluarkan Pusat Maklumat Harta Tanah Malaysia atau National Property Information Centre (NAPIC) mengenai Stok dan Status Kediaman bagi suku pertama (Q1) tahun ini (2018), baru-baru ini.
“Data dikeluarkan NAPIC adalah kurang tepat kerana ia tidak membezakan antara jenis rumah kediaman biasa dan rumah mampu milik.
“Malah, dengan menyatakan bahawa terdapat 4,092 unit kediaman tidak terjual bagi suku pertama tahun ini, dan menjadi antara yang tertinggi di Malaysia juga tidak tepat,” ulas beliau pada sidang media di Komtar tengah hari tadi.
Jelasnya, statistik yang dikeluarkan oleh NAPIC merupakan suatu data yang boleh dipertikaikan.
“Standard yang diguna pakai oleh NAPIC adalah mana-mana rumah kediaman yang siap dibina dan tidak terjual dalam tempoh sembilan bulan akan dikira sebagai ‘unit tidak terjual’.
“Sedangkan ada unit-unit kediaman ini yang mengambil masa lebih lama untuk dijual mengikut harga kediaman dan lain-lain faktor semasa.
“Lagipun, data yang dikeluarkan oleh NAPIC jelas tidak mengikut kategori sewajarnya, bermakna data tersebut turut merangkumi unit kediaman yang berharga antara RM50,000 sehingga melebihi RM1 juta.
“(Dan) berdasarkan pengiraan saya, hampir 60 peratus daripada 4,092 unit kediaman itu adalah unit kediaman yang melebihi harga RM500,000 atau lebih tepat 901 unit berharga RM1 juta dan ke atas serta 1,482 unit berharga antara RM500,000 ke RM1 juta.
“Jadi, unit kediaman yang paling banyak tidak terjual adalah rumah yang melebihi harga RM500,000, bukannya rumah mampu milik, kerana rumah mampu milik di Pulau Pinang adalah paling laris,” ujar beliau yang juga merupakan Ahli Jawatankuasa Pembersihan dan Peningkatan Mutu Proses Pemilihan Perumahan (SPEC).
Dalam perkembangan berkaitan, Jagdeep turut mengalu-alukan kenyataan terkini Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berhubung harga kediaman selepas pemansuhan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).
“Beliau (Guan Eng) menyatakan bahawa dengan terbatalnya GST, maka harga perumahan di negara ini akan menjadi lebih mampu dimiliki kerana bahan binaan bagi projek-projek perumahan tidak akan dikenakan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).
“Oleh itu, di peringkat nasional, saya berharap Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dengan kerjasama Kementerian Kewangan dapat memperkenalkan satu polisi baharu berhubung had harga siling bagi kediaman mampu milik di Malaysia.
“(Dan) sekiranya ingin menilai semula had harga siling ini, saya berharap harga rumah juga mampu dikurangkan,” katanya.
Dalam sidang media sama, Jagdeep turut mengumumkan penganjuran Ekspo Perumahan Mampu Milik yang akan diadakan pada 18 dan 19 Ogos ini bermula jam 10 pagi sehingga 10 malam di Prangin Mall.
Difahamkan, sebanyak 6,278 unit rumah mampu milik ditawarkan kepada umum.
Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : ALISSALA THIAN