GEORGE TOWN – Demi merealisasi projek pembaharuan semula bandar di Pulau Pinang, Kerajaan Negeri hari ini akan terus berusaha memastikan projek Rumah Mampu Milik (RMM) Ujong Batu menjadi kenyataan.
Exco Perumahan dan Perancangan Bandar & Desa, Dato’ Seri S. Sundarajoo berkata demikian dalam ucapan penggulungannya sempena Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Ke-15 di sini pada 27 November 2024.
Kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perai itu lagi, Kerajaan Negeri hari ini akan terus memantau projek perumahan lama seperti Wisma Telaga yang gagal mendapat hak milik strata.
“Kerajaan Negeri berpandangan perumahan Wisma Telaga ini lebih sesuai dijadikan projek pembaharuan semula bandar.
“Walau bagaimanapun, pelaksanaan adalah tertakluk kepada persetujuan kesemua pemilik dan kelulusan Kerajaan Negeri,” jelasnya sambil memuji kesungguhan ADUN Bagan Dalam, K. Kumaran yang senantiasa memuat tindakan susulan bagi merealisasikan perojek RMM Ujung Batu sebelum ini.
Selain itu, Sundarajoo berkata Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang (LPNPP) dalam proses mengaktifkan kembali Perbadanan Pengurusan (MC) Taman Siakap untuk melancarkan projek pembaharuan emula bandar.
Menurutnya, usaha tersebut adalah penting sebelum proses panggilan mengemukakan cadangan (RFP) dibuat, yang mana dijangka akan membekalkan keseluruhan 400 unit RMM (200 RMM B2 dan 200 RMM C3).
“Sesi libat urus bersama pemegang taruh akan diadakan dalam bulan Disember 2024,” katanya sebagai menjawab perkara yang dibangkitkan oleh ADUN Seberang Jaya, Izhar Shah Datuk Arif Shah.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut menjelaskan bahawa Kerajaan Negeri hari ini menyambut baik syor pengubalan Akta Pembaharuan Semula Bandar, peringkat Kerajaan Persekutuan.
“Sehingga kini, tiada akta khas yang khusus bagi pelaksanaan projek pembaharuan semula bandar di Malaysia.
“Kerajaan Negeri menyambut baik cadangan penggubalan Akta Pembaharuan Semula Bandar yang sedang dilaksanakan pada peringkat
Persekutuan.
“Saya dimaklumkan bahawa penyediaan akta tersebut sudah berada pada peringkat akhir,” jelasnya lagi.
Teks & Gambar : ZAINULFAQAR YAACOB