Oleh : YAP LEE YING
Gambar : IDZHAM AHMAD
BERMULA dengan perniagaan kecil-kecilan yang dijalankan ibunya, atas keupayaan sendiri, bahulu tradisional Rosnani Ani kini mampu menembusi pasaran asal.
Walaupun tidak sehingga ke luar negeri, bahulu yang menjadi produk utama pengusaha kuih tradisional berusia 43 tahun tersebut kini telah berjaya dipasarkan di bahagian pulau Pulau Pinang.
Kini, ibu kepada tiga cahaya mata tersebut masih menyimpan seribu pelbagai impian untuk memperkembangkan prospek perniagaan sedia ada.
Ketika ditemui Buletin Mutiara di premisnya yang terletak di Dataran Niaga Bumbung Lima, Pinang Tunggal, Kepala Batas, Rosnani begitu sibuk bersama dua kakitangannya menyiapkan kuih bahulu.
Dari adunan tepung sehinggalah bahulu siap dibakar, setiap langkah beliau begitu pantas dan mahir.
Berhampiran premisnya, selain bau harum bahulu, penulis berserta jurugambar dapat merasai bahang haba ketuhar. Terus terlintas pada fikiran penulis, bagaimana beliau mampu menahan haba sedemikian pada setiap hari.
“Demi rezeki, terpaksalah Puan,’’ jawabnya ringkas.
Setiap hari, rutinnya bermula seawal 7.30 pagi dan proses pembuatan kuih adalah selama empat jam iaitu pada sebelah pagi.
“Sekiranya bahulu dibuat selepas tengah hari, cuaca panas akan menyebabkan ia menjadi keras dan tidak lagi sedap. Pada sebelah petang, tumpuan akan diberikan kepada proses pembungkusan,’’ jelas beliau yang sebelum ini merupakan seorang guru pusat asuhan.
Lazimnya, keenakan rasa bahulu Rosnani membolehkan beliau menerima tempahan sepanjang tahun. Malah, jumlahnya bertambah tiga kali ganda menjelang setiap musim perayaan dan cuti sekolah.
Namun, ekoran tenaga kerja, mesin pembuatan dan keluasan premis yang terhad menyebabkan beliau kadang-kala tidak mampu memenuhi permintaan semasa.
“Dengan kelengkapan kini, akak (Rosnani) dapat menghasilkan 10,000 biji bahulu jenis bulat pada setiap minggu.
“Turut diselang-selikan dalam tempoh sama adalah penghasilan kuih-muih lain seperti putu kacang, dodol, peneram dan putu beras yang juga merupakan produk jualan utama,’’ jelas beliau.
Uniknya, sebagai generasi ketiga resepi yang diturunkan secara turun-temurun, Rosnani menegaskan bahawa beliau masih mengekalkan keaslian kuih-muih tradisional dihasilkannya kini.
“Tepung yang digunakan akan digoreng terlebih dahulu. Malah, akak (Rosnani) juga tidak menggunakan soda bikarbonat untuk menaikkan tepung sebagaimana peniaga-peniaga lain yang ingin mengaut untung lebih.
“Sebaliknya, jumlah telur ditambah ke dalam tepung bagi menyedapkan lagi rasa kuih,’’ jelas beliau sambil menyatakan bahawa bahulunya mampu bertahan selama dua minggu sekiranya tidak terdedah dengan panas.
Disebabkan keadaan keluarga yang kurang berkemampuan, Rosnani terpaksa membantu ibunya membuat kuih pada usia seawal 10 tahun.
“Masa tu terpaksa sebab mak terpaksa ke bendang manakala ayah pula kerja kampung.
“Selepas kuih siap, mak akan masukkan dalam beg, naik bas dan bawa ke pekan untuk jual,’’ ujarnya.
Walaupun didedahkan dengan kaedah pembuatan kuih pada peringkat umur muda, beliau hanya diberi kepercayaan oleh ibunya untuk mengambilalih sepenuhnya perniagaan keluarga tersebut pada tahun 2003.
Menyentuh mengenai cabaran dihadapi, Rosnani tidak menafikan bahawa faktor utama adalah persaingan harga pasaran.
“Orang (pelanggan) tak tahu. Orang ingat kualiti kuih adalah sama. Tapi sebenarnya ia tak sama.
“Bila nak upgrade harga tak boleh sebab nanti tak laku sebab kat pasaran harga lebih rendah. Orang memang suka yang original tapi tak sanggup bayar lebih sebab pasaran dah ‘tetapkan’ walaupun yang kita banyak letak telur,’’ katanya yang tidak akan berputus asa untuk terus memperkembangkan prospek perniagannya walaupun terpaksa menghadapi pelbagai cabaran.
Selain merancang untuk mendapatkan tapak premis yang lebih luas, Rosnani turut menyimpan harapan untuk meningkatkan kelengkapan mesin-mesin pembuatan kuih yang lebih moden dan mesra tenaga kerja.
“Contohnya, pembakar ketuhar dilengkapkan dengan landasan penggerak yang mana seseorang tidak perlu berdiri menjaga api dan menahan haba panas seperti dilakukan kini.
“Akak juga berharap dapat kedai di pekan atau bandar bagi memantapkan aspek pemasaran produk jualan kini. Pada masa jangka panjang, akak turut berharap untuk memiliki kilang sendiri,’’ jelasnya sambil menyatakan bahawa anak kedua beliau bakal menyambung perniagaan tersebut selepas beliau bersara kelak.
INFO :
Untuk tempahan : 013 – 471 2410 atau 017 – 468 1907