GEORGE TOWN – Rotary Club of Penang (Rotary) dan syarikat penyedia perkhidmatan penapis air mineral beralkali ringan terkemuka, Cuckoo menaja satu unit penapis air bagi kegunaan para petugas barisan hadapan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Kompleks Masyarakat Penyayang dekat sini.
Penyerahan penapis air tersebut disempurnakan oleh Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Teh Lai Heng yang mewakili Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow pada petang ini.
Ketika ditemui, Lai Heng yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar memuji inisiatif yang diambil oleh pihak Rotary dan Cuckoo.
“Penyediaan penapis air ini adalah untuk para petugas barisan hadapan di Pusat Pemberian Vaksin di sini (Kompleks Masyarakat Penyayang).
Tajaan ini adalah sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) Cuckoo serta Rotary.
“(Dan) dengan adanya penapis air ini, para petugas di sini tidak perlu lagi menggunakan botol minuman plastik sekali guna, sebaliknya boleh bawa botol minuman sendiri dan nikmati air yang disediakan ini,” ujarnya sambil memuji usahasama yang dijalankan antara Rotary, Cuckoo dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Lebuh Chulia.
Difahamkan, sebanyak empat lokasi telah dipilih untuk menempatkan satu unit penapis air iaitu di PPV Kompleks Masyarakat Penyayang; PPV Tapak Pesta; PPV Dewan Balai Rakyat Bayan Baru dan PPV Kompleks Sukan Balik Pulau.
Sementara itu, Penolong Gabenor Rotary, Stephanie Wong Mooi Heong berkata, pihaknya dan Cuckoo telah menaja 10 unit penapis air sama di Kedah dan Perlis (5).
“Bagi Pulau Pinang, empat unit pertama ini adalah untuk daerah di bahagian Pulau.
“Sekiranya terdapat permintaan daripada mana-mana PPV di bahagian Seberang Perai pihak kami berbesar hati menyediakan penapis air ini,” jelasnya yang bercadang untuk menambah satu unit lagi penapis air di PPV Kompleks Masyarakat Penyayang untuk kegunaan penerima vaksin di sini.
Mantan Penolong Gabenor yang juga mantan Presiden Rotary, Datuk Seri Tan Gin Soon antara yang hadir pada majlis ringkas penyerahan tersebut juga berbesar hati menjayakan visi Kerajaan Negeri Pulau Pinang ke arah sebuah negeri hijau dengan mengurangkan penggunaan plastik sekali guna.
“Bukan sahaja memberi kemudahan kepada para petugas barisan hadapan tetapi juga menjaga alam sekitar,” katanya.
Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI