Rozali mahu pelbagaikan inisiatif ke arah Seberang Perai bandar pintar & rendah karbon

Admin

BUKIT MERTAJAM – Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) akan melaksanakan lebih banyak program di bawah inisiatif perkongsian pintar dengan melibatkan pelbagai pihak bagi mencapai matlamat bandar pintar dan rendah karbon menjelang 2022.

Yang di-Pertuanya, Dato’ Sr. Rozali Mohamud berkata, kerjasama berkenaan perlu bagi memastikan setiap program yang dianjurkan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu dapat memberi impak yang positif kepada penduduk di Seberang Perai khasnya.

“Program-program yang direncanakan ini perlu dijadikan sebagai satu gaya hidup bagi semua penduduk di Seberang Perai agar kita dapat merealisasikan bandar rendah karbon dan bandar pintar pada tahun 2022.

“Oleh itu, saya ingin berharap agar penduduk di sini (Seberang Perai) dapat mengurangkan penghasilan sampah sebanyak 50% dengan mengasingkan sampah dan juga memperbanyakkan amalan kitar semula,” ujarnya pada sidang media selepas merasmikan kerja naik taraf landskap Klinik Cure & Care dekat sini sebentar tadi.

Hadir sama, Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Negeri Pulau Pinang, Mohd. Azlan Mohd. Nor; Pengarah Klinik Cure and Care Bukit Mertajam, Elmariah Chung serta barisan Ahli Majlis bagi MPSP.

Mengulas lanjut, kata Rozali, MPSP juga turut mengadakan perkongsian pintar dengan Klinik Cure and Care yang dimulakan sejak Disember 2017.

“Antara program yang diaturkan adalah latihan upcycle yang mana kita (MPSP) sediakan tenaga pengajar untuk mengajar penghuni di sini untuk menghasilkan barang-barang upcycle seperti bahan tenunan, anyaman dan penggunaan semula bahan kitar semula.

“Kita juga adakan program penghasilan baja kompos (3 Januari) yang berjaya mengumpulkan 8 hingga 20 kilogram sisa setiap hari dan dijadikan sebagai baja kompos dan hari ini kita juga adakan kerjasama untuk menaik taraf landskap,” katanya.

Sementara itu, Elmariah memberitahu, selain menjalankan rawatan pemulihan pihaknya juga menyediakan aktiviti yang berbentuk latihan kemahiran untuk membolehkan penghuni menjana ekonomi sendiri.

“Kita juga adakan latihan kemahiran seperti pertanian yang dijalankan dengan kerjasmaa dengan MPSP untuk melatih cara menyemai dan menjaga anak pokok.

“Pelatih juga diberikan latihan membuak kek dan kopi yang akan dijual di pasaran dan untuk kegunaan mereka sendiri yang mana inisiatif ini bukan sahaja dapat menambah pendapatan malah dapat menjimatkan kos mereka,” jelasnya.

Difahamkan, Klinik Cure and Care adalah sebuah pusat rawatan pemulihan bagi penagih dadah (pelatih) dalam kalangan remaja lelaki yang mendaftarkan diri secara sukarela.

Teks & gambar : SUNARTI YUSOFF