RTB Mak Mandin RM42 juta peruntukan terbesar Kerajaan Negeri jangka siap Disember

Admin

BAGAN JERMAL – Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Mak Mandin termasuk skop pembinaan rumah pam dengan kapasiti 9 meter (m) kubik padu sesaat, dengan peruntukan terbesar daripada Kerajaan Negeri sejumlah RM42 juta, dijangka siap sepenuhnya pada bulan Disember tahun ini.

KETUA Menteri.

Mengulas lanjut, Ketua Menteri Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa projek tersebut dapat mengurangkan lagi risiko banjir di Taman Cantik, Taman Bagan serta kawasan penempatan sekitar dalam radiasi 4 kilometer persegi.

“Projek ini akan siap pada hujung tahun ini dan ia akan membantu mengurangkan risiko banjir kilat di taman-taman perumahan,” jelasnya kepada pemberita selepas melawat tapak pemajuan di sini pada 20 Jun 2020.

Exco Kerja Raya, Utiliti dan Tebatan Banjir, Zairil Khir Johari; Exco Belia & Sukan, Soon Lip Chee merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Jermal; Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh yang juga ADUN Sungai Puyu dan ADUN Bagan Dalam, M. Satees turut sertai sidang media tersebut.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Pulau Pinang, Ir. Shukri Muslim; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Dato’ Sr. Rozali Mohamud dan C. K. Tan (Pegawai Khas Kepada Ahli Parlimen Bagan).

Sebelum itu, Zairil menyatakan bahawa peruntukan RM42 juta tersebut adalah meliputi kerja-kerja penarafan parit monsun Mak Mandin, sistem saliran di Taman Cantik serta pintasan di 10 lokasi sekitar kawasan tumpuan banjir.

“Projek ini telah bermula pada tahun 2018, dijadual siap pada Mac tahun ini, tetapi mengalami penangguhan atas beberapa sebab antaranya adalah isu pengambilan tanah yang mengambil masa, penguatkuasa dan PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) yang tidak dapat dielak.

“JPS negeri akan cuba siapkan projek ini pada hujung tahun ini juga, tapi projek pembinaan rumah pam dijangka siap lebih awal iaitu pada bulan Oktober ini,” ulasnya yang juga ADUN Tanjung Bunga.

Dalam perkembangan lain, Kon Yeow serta barisan pemimpin Kerajaan Negeri lain turut meninjau keadaan sumber air mentah Sungai Mak Mandin dan Sungai Perai sebagai sumber semulajadi baharu negeri.

Oleh : ZAINULFAQAR BIN YAACOB
Gambar : G. REVATIC
Video : CHAN KOK KUAN