BUKIT TENGAH – Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) di Parit 4 Bukit Tengah yang telah siap pada tahun 2021 wajar dinaik taraf lagi supaya turut mengurangkan risiko banjir di tiga kampung di sepanjang Jalan Utama Kebun Sireh dekat sini.
Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Datuk Mohd. Noor Ahmad berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke kawasan tumpuan banjir kilat tersebut di sini pada 15 Januari 2025.
“Lawatan kerja pada pagi ini dibuat susulan saya mendapat aduan daripada Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Kemajuan Kampung Persekutuan (JPKKP) Kampung Kebun Sireh, Encik Samsudin Saat.
“Kalau hujan lebat hampir dua jam, ditambah limpahan air dari Parit 4 Bukit Tengah, simpang tiga di sini akan mulai banjir sehingga menjejaskan beberapa kawasan penduduk di Kampung Gambir, Kampung Siam dan Permatang Kebun Sireh.
“Jadi, lawatan pada pagi ini untuk melihat keadaan struktur sistem perparitan sebelum kita memikirkan beberapa cadangan penambahbaikan yang perlu dibuat,” jelasnya.
Menurutnya, dengan adanya parit lencongan di sepanjang kawasan lot komersial dan kawasan perumahan Taman Desa Damai yang selari dengan Parit 4 Bukit Tengah sepanjang 4.7 kilometer (km) telah berjaya mencegah limpahan limpahan air ke kawasan sekitar sahaja.
“Ada beberapa cadangan perlu dipertimbang oleh pihak berwajib selain menyelenggara sistem perparitan di kiri dan kanan jalan utama Jalan Kebun Sireh supaya tidak dipenuhi selut dan pasir dari semasa ke semasa.
“Untuk jangka masa pendek, mungkin perlu juga bantuan pam mudah alih yang mampu membawa keluar air dari parit jalan ke Parit 4 Bukit Tengah bagi mengurangkan risiko banjir di sini.
“Untuk jangka masa panjang, sama ada perlu memperbesar sistem perparitan sedia ada di jalan utama Jalan Lebin Sireh ataupun membina beberapa parit lencongan untuk mempercepat nyah keluar air semasa hujan lebat
“Kampung Gambir, Kampung Siam dan Kampung Sireh wujud lebih awal sebelum beberapa taman perumahan wujud di sini (yang mana) ketiga-tiga kampung ini juga adalah di bawah kawasan pentadbiran MBSP untuk kita melihat sama isu penduduk bandar raya kampung-kampung tersebut,” jelasnya sambil memberitahu segala syor tersebut akan diketengahkan dalam Mesyuarat Penuh Majlis akan datang.
Penolong Jurutera MBSP, Faizal Irwan Mahsar turut sertai lawatan kerja tersebut pada pagi tadi.
Teks & Gambar : ZAINULFAQAR YAACOB