BUKIT TENGAH – Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Parit 5 Sungai Juru yang siap pada 21 April tahun lalu dapat mengurangkan impak keluasan banjir sebanyak 90 peratus iaitu daripada 2.2 kilometer (km) persegi kepada 0.12km melibatkan kawasan perumahan dan komersial.
Menurut Exco Infrastruktur dan Pengangkutan, Zairil Khir Johari, RTB Parit 5 merupakan tiga daripada lapan projek impak besar Kerajaan Negeri yang berjaya disiapkan selain daripada RTB Mak Mandin dan RTB Parit 4 setakat ini.
“RTB Parit 5 ini dibiayai 100 peratus oleh Kerajaan Negeri melibatkan dana RM14.6 juta dilengkapi dua pam berkapasiti lima meter kiub per saat dan mula dibina pada 16 Mac 2018.
“Rumah pam dengan dilengkapi dua unit pam dapat mengurankan impak banjir melibatkan kawasan Taman Setul, Taman Setul Jaya, Taman Mangga dan Taman Pinang.
“Manfaat secara langsung kepada penduduk setempat diharapkan dapat mengurangkan risiko banjir di jajaran sepanjang 2.54km melibatkan kawasan perumahan dan komersial,” ujar Zairil ketika melawat ke RTB Parit 5 di sini semalam.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tengah, Gooi Hsiao-Leung dan Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Pulau Pinang, Ir. Zainuddin Yusoff.
Difahamkan, rumah pam RTB Parit 5 mampu memuatkan tiga pam namun untuk sementara hanya diletakkan dua pam dan penambahan akan dilakukan sekiranya keadaan memerlukan.
“Selain itu, skop projek juga merangkumi jambatan air, kolam takungan seluas 500 meter persegi dan jambatan penghubung,” jelas Zairil yang juga ADUN Tanjung Bunga.
Sejurus itu, Zairil turut mengadakan lawatan ke RTB Parit 4, Jalan Juru yang bernilai RM17 juta dan telah siap 30 Mac 2021.
Objektif utama RTB Parit 4 adalah mengurangkan risiko banjir melibatkan jajaran 4.7km meliputi Taman Desa Damai, Taman Belimbing, Taman Jambu Madu, Taman Jambu Mawar serta Kampung Dock dan Tok Keramat.
Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : CHAN KOK KUAN