RTM harap tingkatkan kerjasama dengan Kerajaan Negeri

Admin

GEORGE TOWN – Radio Televisyen Malaysia (RTM) Pulau Pinang berharap dapat merapatkan lagi hubungan kerjasama dengan pihak Kerajaan Negeri di bawah kepimpinan Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow.

Pengarah RTM Pulau Pinang, Ng Meng Mee berkata, media seperti RTM merupakan sarana efektif yang mampu bertindak sebagai perantara di antara Kerajaan dan juga rakyat dalam menyalurkan maklumat dan berita.

“RTM bersedia untuk menjalinkan kerjasama lebih erat dan menyokong apa jua program yang dianjurkan Kerajaan Negeri termasuk projek-projek di bawah visi Penang2030.

“Malah, RTM adalah platform strategik yang boleh diguna untuk menghebahkan isu-isu penting kepada rakyat termasuk pencapaian serta kejayaan Kerajaan Negeri dalam melaksanakan pembangunan di Pulau Pinang termasuk pelaksanaan projek-projek mega yang telah dirancang,” ujarnya pada kunjungan hormat terhadap Kon Yeow dekat pejabatnya di Komtar tengah hari tadi.

Hadir sama, Timbalan Pengarah RTM Pulau Pinang, Nor Hisham Abbas, Any Rozita Abdul Mutalib (Ketua Bahagian Berita) dan Noraini Ismail (Ketua Bahagian Rancangan).

Pada pertemuan tersebut, Kon Yeow turut mencadangkan agar kerjasama tersebut diperluaskan ke jabatan dan agensi-agensi negeri lain seperti pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pelbagai lagi.

“Terbaru, mungkin RTM boleh bantu untuk menyeru rakyat agar lebih berhemah dan berjimat cermat dalam menggunakan air pada musim panas dan kemarau kini.

“Catatan terbaharu yang diterima daripada pihak PBAPP (Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang) menyatakan bahawa simpanan air mentah di empangan mengalami penurunan ketara berbanding tempoh sama tahun lalu dan menjadi muka depan akhbar-akhbar hari ini,” jelasnya.

Pertemuan bermakna tersebut diakhiri dengan pemberian cenderahati kepada Kon Yeow.