Ruang solat selesa di premis awam dan swasta

Admin


GEORGE TOWN – Jabatan Hal Ehwal Agama Islam (JHEAIPP) melalui Bahagian Pengurusan Masjid Dan Surau diarahkan untuk memantau bagi memastikan semua premis awam, pusat membeli-belah dan hotel menyediakan tempat solat lebih selesa dan menepati piawaian keselesaan serta menepati kehendak syarak.

ABDUL Malik Abul Kassim.
ABDUL Malik Abul Kassim.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Abdul Malik Abul Kassim berkata, arahan tersebut juga meliputi ruang solat atau surau yang disediakan oleh pihak pemaju di rumah-rumah pangsa.

Usaha mewujudkan ruang solat lebih selesa ini telah dimulakan pada tahun lepas, iaitu apabila Kerajaan Negeri mewujudkan sebuah surau awam yang lebih selesa di Tingkat 4 Komtar, yang telah dirasmikan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 6 Jun 2010.

Kini pihak Exco Hal Ehwal Agama juga telah merancang dan mengenal pasti kawasan untuk didirikan sebuah surau awam di Padang Kota Lama bagi kemudahan pelancong dalam dan luar negeri menunaikan solat,” katanya dalam satu kenyataan media di sini baru-baru ini.

Beliau menambah,  selaku Exco Hal Ehwal Agama, selain memastikan semua rakyat mendapat pembelaan yang sewajarnya, perkembangan dan kemajuan masyarakat Islam di negeri ini sentiasa menjadi fokus utama beliau. 

Buktinya peruntukan berkaitan hal ehwal agama Islam telahpun meningkat lebih seratus peratus berbanding dengan peruntukan kerajaan terdahulu.

Semasa mengambilalih pentadbiran pada 2008, kerajaan terdahulu hanya memperuntukan sebanyak RM 15.99 juta, namun peruntukan itu telah ditingkatkan sebanyak RM22.22 juta pada tahun 2009. Ia terus meningkat pada tahun 2010 sebanyak RM27.38 juta dan RM 33.33 juta pada tahun 2011,” ujar Abdul Malik.