Rujuk fakta kemudian perbetul laporan berita, Kon Yeow nasihat Menteri Besar Kedah

Admin
KETUA Menteri dalam sidang media berkaitan seusai merasmikan Majlis Sambutan Aidilfitri anjuran Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) di Bangunan PDC, Bayan Lepas di sini pada 16 Mei 2023.

BAYAN LEPAS – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow hari ini menasihatkan Menteri Besar Kedah supaya merujuk fakta sebenar di sebalik kejadian paras Sungai Muda susut secara mendadak pada 14 Mei 2023 serta membetulkan laporan berita yang mengelirukan terhadap imej negeri Pulau Pinang.

Kon Yeow berkata demikian sambil merujuk kepada laporan sebuah portal persana semalam (15 Mei 2023) yang bertajuk ‘Sanusi tells Penang govt to fix faulty Sg Muda barrage gate’.

“Sekiranya Menteri Besar Kedah berkenaan telahpun membuat kenyataan sedemikian, beliau seharusnya mendapatkan fakta yang betul.

“Mungkin perlu minta maaf kepada (Kerajaan Negeri) Pulau Pinang dan rakyat Pulau Pinang kerana membuat sangkaan jahat berkenaan.

“Jika kenyataan Menteri Besar Kedah dipetik salah dalam laporan berita berkenaan, Menteri Besar Kedah seharusnya menghubungi organisasi media berkenaan dan minta suatu pembetulan (laporan) diterbitkan,” jelasnya dalam nada sederhana kepada pemberita seusai merasmikan Majlis Sambutan Aidilfitri anjuran Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) di sini pada 16 Mei 2023.

Semalam, Menteri Besar Kedah dilaporkan berkata bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang didesak memperbaiki pintu air pada satu baraj rosak sehingga mengakibatkan kejadian paras Sungai Muda susut secara mendadak yang terjadi pada Ahad lepas (14 Mei 2023).

Berdasarkan fakta sebenar berkaitan, Kon Yeow memberitahu bahawa Kerajaan Negeri dan Perbadanan bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) berpendapat baraj ‘rosak’ tersebut adalah berada dalam kawasan pentadbiran negeri Kedah.

“Pertama, baraj ‘bermasalah’ yang menyebabkan isu (gangguan) bekalan air pada 14 Mei 2023 sebenarnya dari mula kita katakan berada di negeri Kedah, bukan di negeri Pulau Pinang.

“Pada 14 Mei 2023, sebuah divisyen dalam Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) yang diberi nama Pengurusan Lembangan Sungai Muda (PLSM) telah mengeluarkan sepucuk surat rasmi kepada Lembaga Sumber Air Negeri Kedah (LSANK) yang menyatakan penurunan paras air Sungai Muda secara mendadak adalah disebabkan oleh kerosakan yang tidak dijangka.

“Surat itu disampaikan kepada LSANK, bukan kepada mana-mana pihak berkuasa di negeri Pulau Pinang,” tegasnya yang juga Exco Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi.

Berdasarkan fakta berkaitan lagi, Kon Yeow menjelaskan bahawa surat PLSM kepada LSANK telah menyatakan pembukaan dan penutupan pintu-pintu baraj di Sungai Muda tersebut dikendalikan melalui sistem SCADA secara automatik.

“Pada 8.30 malam 13 Mei 2023, sistem berkenaan ‘telah membuka’ sebuah pintu, dan dibuka pintu itu selama 11 jam.

“Pada 7.30 pagi keesokan hari (14 Mei 2023) PLSM telah memerhatikan paras air di Sungai Muda telah jatuh pada paras 0.67 meter (m)… (dan) pada 7.30 pagi (14 Mei 2023), PLSM telah menutup balik pintu (baraj) berkenaan secara manual,” ulasnya sambil memberitahu bahawa pihak berwajib kemudiannya mengarahkan pelepasan air dari Empangan Beris di negeri Kedah juga.

Menjawab soalan pemberitahu selepas itu, Kon Yeow berkata bahawa terdapat berita berkaitan mengenai Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Charles Santiago dilaporkan berkata bahawa pihaknya akan melawat Pulau Pinang pada Khamis ini, kemudiannya ke negeri Kedah bagi memahami isu berbangkit tersebut.

Semalam, Kon Yeow yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan menggesa SPAN membuat siasatan penuh berhubung kejadian paras Sungai Muda susut secara mendadak pada 14 Mei 2023 supaya insiden yang telah menjejaskan sejumlah 400,000 akaun pengguna di negeri Pulau Pinang dan lebih 200,000 akaun pengguna di negeri Kedah tidak lagi berulang.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : LAW SUUN TING
Video : ALISSALA THIAN