Rumah agam 99 Pintu belum diwarta sebagai bangunan warisan

Admin
whatsapp image 2024 03 14 at 1.21.17 pm

GEORGE TOWN – Rumah 99 Pintu dekat Jalan Byram, Nibong Tebal yang ditimpa sebuah kren dipercayai digunakan oleh produksi filem pada 4 Mac lalu masih belum diwartakan sebagai bangunan warisan.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa setakat ini rumah agam tersebut hanya pernah disenaraikan sebagai salah satu bangunan warisan oleh Jabatan Pelancongan, Seni & Warisan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) pada tahun 2015.

“Pihak berkuasa tempatan (PBT) hanya boleh menyenaraikan bangunan untuk diwartakan sebagai bangunan warisan, namun permohonan tersebut masih tertakluk kepada syarat-syarat yang ditetapkan.

whatsapp image 2024 03 14 at 1.21.20 pm
H’ng Mooi Lye.

“Mungkin rumah 99 Pintu ada dalam senarai pihak Majlis (MBSP) sebagai senarai bangunan warisan tetapi masih belum diwartakan di bawah mana-mana akta warisan sama ada Akta Warisan Kebangsaan 2005 atau Enakmen Warisan Negeri Pulau Pinang 2011.

“Sebagai perbandingan, di bahagian pulau, pihak Majlis (Majlis Bandaraya Pulau Pinang) juga mempunyai senarai bangunan warisan tetapi apabila berlaku permohonan, ia tertakluk kepada syarat-syarat yang ditetapkan,” katanya pada sidang media dekat Komtar di sini sebentar tadi.

Turut hadir, Exco Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar & Desa yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jawi, Jason H’ng Mooi Lye.

Sementara itu, Mooi Lye memaklumkan bahawa rumah 99 Pintu masih belum dapat melalui proses pewartaan sebagai bangunan warisan kerana tiada sebarang permohonan dibuat oleh pemilik rumah agam berkenaan.

“Ini kerana permohonan untuk pewartaan perlu dibuat oleh pemilik bangunan tersebut memandangkan rumah 99 Pintu merupakan hak milik persendirian.

“Sehingga hari ini, pemilik bangunan tersebut masih belum membuat apa-apa permohonan untuk mewartakan rumah 99 Pintu sebagai bangunan warisan walaupun ia disenaraikan oleh MBSP seblum ini,” katanya.

Namun begitu Mooi Lye menyatakan bahawa MBSP akan mengeluarkan surat kepada pemilik bangunan tersebut untuk memastikan sebarang proses baik pulih yang dijalankan perlu mengikut syarat-syarat ditetapkan.

“Apabila sesebuah bangunan disenaraikan sebagai bangunan warisan, semua kerja membaik pulih adalah perlu mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan termasuk mengekalkan reka bentuk asal bangunan tersebut,” jelasnya.

Terdahulu, beberapa keping gambar tular di media sosial sejak semalam memaparkan keadaan rumah terbabit sekali gus menimbulkan pelbagai reaksi masyarakat.

Rumah agam tersebut yang dipercayai dibina sekitar tahun 1800 juga pernah terbakar kira-kira 70 peratus dalam kejadian kebakaran pada tahun 2020.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : MUHAMMAD AMIR IRSYAD OMAR
Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS