Rumah Agam Syed Al-Attas siap dibaik pulih, sedia untuk disewa

Admin

GEORGE TOWN – Bangunan Warisan Kategori 1, Rumah Agam Syed Al-Attas yang terletak di 128, Lebuh Armenian dan siap dipulihara baru-baru ini akan dibuka sebagai premis sewaan oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).

 

 

Menurut Ahli Majlis bagi MBPP, Wong Yuee Harng, sesiapa yang berminat untuk menyertai tender penyewaan ini dikehendaki menghadiri taklimat dan lawatan di perkarangan premis pada 26 September ini jam 9:30 pagi.

 

“Pihak MBPP menyasarkan untuk disewakan kepada pihak yang berminat menjadikan ia sebagai premis komersial, tetapi kita pun tidak menetapkan secara spesifik apakah kriteria yang perlu.

 

 

“Apa yang penting, kalau berminat, hadir ke lawatan tapak 26 September ini besertakan cadangan untuk dipertimbangkan oleh MBPP.

 

 

“Sekiranya ada elemen warisan dan penjagaan serta selenggara yang elok, itu lebih baik,” ujar Yuee Harng kepada pemberita pada sidang media di sini pagi tadi.

 

 

Tambahnya, bangunan dua tingkat itu dibina pada tahun 1860an telah diiktiraf sebagai salah satu rumah yang mempunyai contoh terbaik kediaman Muslim yang bertahan sehingga ke hari ini.

 

Gaya seni binanya pula adalah berasaskan Straits Electic yang menampilkan bulan sabit dan bintang yang bersudut tegak dengan gabungan pengaruh India, Eropah dan Melayu telah menjadi kediaman Syed Mohamad Al-Atas sebagai pemimpin masyarakat Muslim ketika itu.

 

 

“Sebelum ini MBPP bersama George Town Conservation & Development Corporation (GTCDC) telah bekerjasama dalam usaha melaksanakan kerja-kerja kajian pemuliharaan dan membaikpulih bangunan ini.

 

 

“MBPP telah membelanjakan sebanyak RM1.5 juta bagi kerja-kerja pemuliharaan dan membaikpulih bangunan yang disiapkan oleh GTCDC pada 14 Jun 2022,” maklum Yuee Harng lagi.

 

 

Difahamkan, keluasan tanah bagi rumah agam tersebut adalah 10,994 kaki persegi manakala keluasan bangunan adalah 6,088 kaki persegi.

 

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : MBPP