DATUK KERAMAT – Rumah ganti sumbangan Ahli Parlimen Jelutong, R.S.N Rayer bernilai RM50,000 kepada Hasnah Ahmad, 63, dekat Kampung Dodol di sini dijangka siap Januari tahun hadapan.
Rayer memberitahu perkara tersebut ketika beliau bersama-sama Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo mengadakan lawatan tapak tengah hari tadi.
“Lepas ini kami akan bersama-sama sumbangkan perkakas rumah seperti almari, peti ais, televisyen, sofa, katil dan sebagainya.
“Selain itu saya akan minta pejabat penghulu untuk uruskan kemudahan asas untuk keluarga ini masuk dan menghuni tanpa apa-apa kerunsingan lagi.
“Kalau mak cik (Hasnah) sudi jadi tuan rumah, saya dan Jagdeep akan anjurkan lagi majlis buka puasa atau jamuan hari raya tahun depan,” tambah Rayer.
Hadir sama, Penghulu Pejabat Daerah dan Tanah Daerah Timur Laut (DTL) Asri Ahmad.
Hasnah ketika ditemui menzahirkan rasa syukur di atas keprihatinan Rayer dan Jagdeep yang sanggup membantu beliau membina sebuah rumah baharu.
Sehari sebelum sambutan Hari Raya Aidiladha Ogos lalu, rumah Hasnah musnah dalam kebakaran akibat daripada kejadian litar pintas selepas dibadai taufan lekima.
Teks & Gambar : WATAWA NATAF ZULKIFLI