Rumah kos rendah SPT dibuka untuk pembelian

Admin

Oleh : MOHD. HAFIZ TAJUDIN

BUKIT MERTAJAMSehingga Mac lalu, sebanyak 798 unit rumah kos rendah daripada enam projek perumahan di Seberang Perai Tengah (SPT) dibuka untuk golongan berkelayakan bagi membolehkan mereka memiliki kediaman sendiri di sini.

Keenam-enam projek perumahan tersebut ditawarkan dengan julat harga antara RM35,000 hingga RM42,000 termasuk di Desa Titi Panjang Mukim 14 sebanyak 60 unit; Desa Impian (69); Rumah Pangsa Tropika (114); Century Court Permatang Tinggi (247); Seri Akasia, Penanti (134); dan Park View Residency, Juru (174).

Kenyataan tersebut diumumkan mantan Exco Perancangan Bandar dan Desa, Perumahan dan Kesenian, Wong Hon Wai ketika mengadakan lawatan tapak projek Rumah Pangsa Tropika di Alma di sini baru-baru ini.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, Rumah Pangsa Tropika dibina oleh syarikat GTM Land and Property Sdn. Bhd. setinggi lima tingkat dengan keluasan 700 kaki persegi.

“Untuk fasa pertama, sebanyak 97 unit ditawarkan kepada senarai menunggu berdaftar dengan Bahagian Perumahan Kerajaan Negeri, manakala baki 17 unit lagi bakal ditawarkan kelak.

“Perkembangan pembinaan rumah pangsa ini telah mencapai 50 peratus kini dan dijangka siap sepenuhnya pada suku ketiga tahun ini,’’ katanya di sini baru-baru ini.

Dalam pada itu, Hon Wai turut menjelaskan bahawa projek perumahan di Seberang Perai dan bahagian pulau adalah tidak sama kadar penawaran dan permintaannya.

“Permintaan di sebelah pulau adalah jauh lebih tinggi berbanding penawarannya. Sebagai contoh di Shine Ville, George Town, hanya 234 unit ditawarkan, tetapi permintaannya melebihi 1,000 pemohon.

“Hal ini berbeza dengan Seberang Perai, walaupun telah ditawarkan, masih terdapat lebihan kekosongan kerana kekurangan permintaan, contohnya, di Taman Sungai Duri, selepas peroleh sijil kependudukan (OC) pun, masih ada lebih daripada 100 unit belum terjual,” jelasnya.