Rumah Mampu Milik Bakat Baru Madani kemudahan perumahan untuk rakyat Pulau Pinang

Admin
e55f8a89 0a7a 4172 8fe0 8e5e96ad2fe2

PANTAI JEREJAK – 2024 merupakan tahun yang penuh dengan perkembangan positif kepada Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) dengan pencapaian keseluruhan projek-projek strategik termasuk Rumah Mampu Milik (RMM) Bakat Baru Madani di Batu Kawan dan Seberang Jaya.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC), Dato’ Aziz Bakar berkata bahawa projek berkenaan telah mendapat kelulusan kebenaran merancang kurang daripada tempoh 40 hari.

“Kita telah mendapat kelulusan cabaran adalah dari segi beberapa perkara tidak berpadanan, maka pengubahsuaian perlu dilakukan bertepatan dengan garis panduan agar tidak menjejaskan mobiliti projek ini.

“Majlis pecah tanah pula dijangka akan berlangsung pada bulan Mac ini, tarikh akan dimaklumkan semula,” jelasnya pada sidang media dekat sini sebentar tadi.

Difahamkan, projek tersebut bakal dilengkapi dengan kemudahan seperti kolam renang, gimnasium, dewan serba guna, dan taman permainan membabitkan pembinaan hampir 38,000 unit kediaman dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM13 bilion di Pulau Pinang.

Sementara itu, Aziz turut memaklumkan bahawa sebagai tanda penghargaan, pihak pengurusan PDC bakal mengumumkan bonus maksimum sebanyak enam bulan gaji pada bulan ini.

“Ekoran prestasi dan pencapaian PDC pada tahun lepas, pemberian bonus kepada seluruh kakitangan PDC seramai 396 orang bakal diagihkan berdasarkan prestasi masing-masing, minimum sebulan dan paling maksimum enam bulan.

“Pemberian bonus ini merupakan paling tinggi dalam sejarah sejak PDC ditubuhkan, ekoran tahun lepas telah memperoleh nilai keuntungan tertinggi iaitu sebanyak RM500 juta.

“Setiap tahun pemberian bonus diberikan berdasarkan prestasi syarikat, jika tidak untung maka tiada bonus diberikan,” jelasnya lanjut.

Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD